Pengurusan TH tidak lagi libatkan ahli politik aktif – Mustakim

LocalPolitics
3 Sep 2026 • 12:06 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pengurusan TH tidak lagi libatkan ahli politik aktif – Mustakim

BANGI: Lembaga Tabung Haji (TH) tidak akan lagi melibatkan ahli politik aktif dalam pengurusan institusi itu, sebagai antara langkah pembaharuan bagi memperkukuh tadbir urus serta mengembalikan keyakinan lebih 10 juta pendeposit.

Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada pembaharuan yang sedang dilaksanakan bagi memastikan pengurusan institusi berkenaan lebih profesional, berdisiplin dan memberi keutamaan kepada kepentingan pendeposit.

“Untuk menamatkan penglibatan ahli politik aktif dalam negara. Sekarang sudah tidak ada lagi penglibatan ahli politik aktif dalam negara,” katanya pada Dialog Ummah: Realiti dan Masa Depan TH di sini, hari ini. 

Menurut beliau, pembaharuan itu turut merangkumi pengukuhan disiplin kewangan, pengurusan risiko pelaburan dan operasi serta penambahbaikan proses pengagihan keuntungan.

Katanya, sejak 2022, TH hanya mengisytiharkan keuntungan selepas penyata kewangan diaudit sepenuhnya, berbeza dengan amalan sebelum ini yang menyaksikan pengumuman dibuat sebelum proses audit selesai.

Langkah berkenaan, katanya, penting bagi memastikan kedudukan kewangan TH lebih telus dan pengagihan keuntungan dibuat berdasarkan prestasi kewangan sebenar.

Mustakim berkata, TH juga kini memberi penekanan lebih besar terhadap pengurusan risiko pelaburan bagi memastikan keselamatan pendeposit terus menjadi keutamaan.

“Paling penting ialah kita mahu membina semula keyakinan terhadap deposit kerana kita mempunyai tanggungjawab memastikan keselamatan deposit,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, daripada 25 syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), sebanyak 19 telah diambil tindakan, manakala enam lagi masih dalam proses pelaksanaan.

Katanya, antara perkara yang masih dalam proses termasuk cadangan berkaitan perubahan dasar yang perlu dibawa ke Kabinet dan Parlimen serta usaha memperkukuh skop penyeliaan kerajaan terhadap TH.

“Lebih 90 peratus (pelaksanaan) sedang berjalan, tetapi masih ada perjalanan yang panjang untuk membawanya ke Kabinet,” katanya.

Mustakim berkata, pembaharuan yang dilaksanakan TH bukan sekadar memberi tumpuan kepada isu sebelum 2018, sebaliknya turut merangkumi penambahbaikan selepas tempoh tersebut.

“Ini bukan hanya mengenai sebelum 2018, tetapi juga selepas 2018. Bagi saya, ini adalah perkara yang serius.

“Kita perlu mengakui kelemahan lalu dan menunjukkan kemajuan hari ini untuk membina keyakinan terhadap pendeposit,” katanya.

Beliau berkata, TH turut mengubah strategi peruntukan aset dengan kini 50 peratus aset diperuntukkan kepada instrumen pendapatan tetap berbanding lebih separuh aset berada dalam ekuiti pada 2018.

Menurutnya, perubahan itu dibuat bagi meningkatkan kestabilan portfolio serta memberi jaminan lebih kukuh terhadap keselamatan deposit.

Mustakim berkata, semua pembaharuan berkenaan bertujuan memastikan TH kekal sebagai institusi Islam yang kukuh, profesional dan dipercayai pendeposit untuk tempoh jangka panjang.

“Organisasi yang telah ditubuhkan lebih 60 tahun ini perlu terus relevan untuk masa hadapan,” katanya. –UTUSAN

The post Pengurusan TH tidak lagi libatkan ahli politik aktif – Mustakim appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved