
BANDAR BARU BANGI: Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) tidak seharusnya dipandang ringan, ditutup atau dikaburi semata-mata kerana bimbang terhadap implikasi politik.
Presiden Wadah, Datuk Ahmad Azam Ab. Rahman berkata, pada masa sama, laporan RCI berkenaan juga tidak wajar dijadikan senjata politik oleh mana-mana pihak.
Menurut beliau, kedua-dua pendekatan itu tidak wajar kerana politik tidak seharusnya mengatasi kebenaran, manakala kebenaran pula tidak boleh diperalatkan untuk kepentingan politik.
“Jangan laporan RCI ini dijadikan senjata ataupun alat politik tetapi pada masa yang sama jangan pula dapatan RCI ini dipandang ringan atau ditutup, dikaburi kerana takut kepada implikasi politik.
“Kedua-duanya tidak betul. Politik tidak boleh mengatasi kebenaran tetapi kebenaran juga tidak boleh diperalatkan untuk kepentingan politik,” katanya ketika berucap pada Dialog Ummah: Realiti dan Masa Depan TH di sini hari ini.
Azam berkata, laporan berkenaan bukan laporan mana-mana parti politik, kerajaan tertentu mahupun pembangkang.
Sebaliknya, katanya, laporan itu adalah hasil siasatan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Jadi, kita perlu melihat dapatan ini dengan fikiran yang jernih dan hati yang bersih,” katanya.
Beliau berkata, semua pihak perlu memastikan dapatan RCI diterjemahkan kepada proses muhasabah, pembaikan dan pembetulan demi mengembalikan keyakinan jutaan pendeposit TH.
Katanya, TH bukan sekadar sebuah institusi kewangan, sebaliknya mempunyai kedudukan istimewa dalam sejarah pembangunan umat Islam di Malaysia.
“TH bukan sekadar sebuah institusi kewangan kerana ia mempunyai kedudukan istimewa dalam sejarah pembangunan umat Islam di Malaysia,” katanya.
Azam menegaskan pengurusan TH perlu terus berteraskan integriti, tadbir urus yang baik, ketelusan dan kebertanggungjawaban.
Beliau berkata, laporan RCI juga harus menjadi titik permulaan kepada usaha memperkukuh TH untuk tempoh jangka panjang. –UTUSAN
The post Jangan jadikan laporan RCI Tabung Haji senjata politik appeared first on Utusan Malaysia.






