
KANGAR: Pemimpin parti politi Perlis tanpa mengira fahaman politik senada membidas Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berhubung isu perobohan Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi, mahu tindakan itu dilihat berdasarkan aspek pematuhan undang-undang dan hak milik tanah.
Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, tuduhan Rayer bahawa kerajaan negeri bersikap rasis, angkuh dan menjadi ancaman kepada kemajmukan bukan merupakan hujah, sebaliknya dakwaan serius yang perlu dibuktikan.
Katanya, perobohan tersebut bukan usaha menyekat agama Hindu atau menafikan hak minoriti memandangkan banyak rumah ibadat bukan Islam yang sah di Perlis terus beroperasi dengan aman.
“Pada 9 Februari 2026, Perdana Menteri sendiri menegaskan bahawa semua rumah ibadat wajib mematuhi peraturan. Hansard Dewan Negara bertarikh 4 Mac 2026 turut merekodkan gereja, masjid, tokong dan kuil mesti mendapatkan kebenaran merancang daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tanpa pengecualian.
“Jika prinsip itu tidak dianggap rasis apabila ditegaskan Kerajaan Persekutuan, atas asas apa ia menjadi rasis apabila dikuatkuasakan di Perlis?” katanya, semalam.
Kelmarin, Rayer dalam satu kenyataan media mengutuk tindakan penguatkuasaan merobohkan kuil berkenaan.
Menerusi kenyataan itu, Rayer mendakwa kerajaan negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) sebagai angkuh dan rasis, selain mendakwa insiden sedemikian tidak berlaku di bawah negeri pimpinan Kerajaan Perpaduan.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perlis, Azzin Izzad Bahanudin yang turut mengecam kenyataan Rayer itu berkata, isu penguatkuasaan undang-undang tidak seharusnya diheret menjadi polemik politik, kaum atau agama sehingga menimbulkan ketegangan masyarakat.
Beliau juga bersetuju dengan prinsip yang ditegaskan Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin bahawa negara ini mempunyai undang-undang yang mesti dihormati.
“Kebebasan beragama yang dijamin Perlembagaan Persekutuan tidak bermaksud peraturan berkaitan pemilikan tanah dan pembinaan boleh diketepikan. Sekiranya sesuatu struktur dibina tanpa kebenaran atau hak milik sah dan proses sewajarnya telah dilaksanakan, tindakan penguatkuasaan perlu dihormati,” katanya.
Naib Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kangar, Mohammad Faisol Abd Rahman berkata, pihak luar tidak perlu menjadi ‘hero’ dengan mengecam tanpa usul periksa.
“Kalau binaan haram tidak kira rumah ibadat atau pun apa-apa sekali pun, tindakan sama tetap dijalankan. Isu ini jangan dimainkan isu perkauman. Pihak kerajaan negeri bukan terus melaksanakan tindakan meroboh tanpa notis, sebaliknya rundingan demi rundingan telah dijalankan sebelum ini,” katanya.
Ketua Parti Amanah Negara (Amanah) kawasan Kangar, Ya’akub Abu Seman pula berkata, Rayer sebagai Ahli Parlimen dan pengamal undang-undang, sewajarnya memahami bahawa kebebasan beragama yang dijamin oleh Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan tidak memberikan hak kepada mana-mana individu atau pihak untuk menduduki atau membina sesuatu struktur di atas tanah kerajaan tanpa kebenaran sah
“Seksyen 425 kanun tanah negara memperuntukkan bahawa pendudukan atau pembinaan bangunan di atas tanah kerajaan, tanah rizab atau tanah perlombongan tanpa kebenaran yang sah merupakan suatu ke salahan,” katanya. – MINGGUAN
The post Pemimpin politik Perlis bidas Rayer appeared first on Utusan Malaysia.






