
KUALA LUMPUR - Satu video memaparkan seorang peniaga gerai makanan di Ipoh dirompak dua lelaki kini tular di media sosial.
Menerusi video tersebut, dapat dilihat dengan jelas dua suspek yang merampas kotak wang tunai milik peniaga terbabit, sebelum melarikan diri dengan motosikal.
Kejadian itu berlaku semasa sesi siaran langsung TikTok.
Selepas insiden tersebut, anak perempuan mangsa memuat naik rakaman berkenaan di media sosial dan merayu orang ramai supaya membantu mengesan perompak terlibat.
“Kes ragut di gerai mak saya, Nasi Bajet Yanti di Meru, Ipoh. Sesiapa yang jumpa mereka, beritahu saya.
“Penduduk Ipoh, khususnya di Meru, tolong bantu saya cari mereka. Mereka begitu mudah merampas hasil titik peluh orang lain. Tolonglah semua, bukan mudah untuk peniaga kecil mencari pendapatan. Tolong sebarkan sehingga kita jumpa perompak ini,” tulisnya.
Menurut polis, anggaran kerugian adalah sekitar RM2,000 melibatkan wang tunai dan sebuah telefon bimbit.
“Polis sedang mengesan kedua-dua lelaki tersebut, dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan bagi kes kecurian.
“Sabit kesalahan, suspek boleh dipenjara sehingga tujuh tahun, denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.
Insiden berkenaan boleh disaksikan di pautan https://www.facebook.com/reel/1019684704077621/?fs=e&s=TIeQ9V&fs=e&mibextid=wwXIfr. - Getaran, 22 Mei 2026
