
KUALA LUMPUR — Peniaga kecil masih boleh menggunakan tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi dengan syarat penggunaannya tidak melebihi tiga tong gas 14 kilogram (kg) pada satu satu masa dengan jumlah maksimum adalah 42 kg.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, tong gas ungu tanpa subsidi hanya diwajibkan kepada pengguna industri dan komersial berskala besar seperti restoran besar, kilang, hotel dan seumpamanya.
“Masih ada yang keliru, jadi biar saya jelaskan dengan mudah.
“Peniaga kecil macam Makcik Kiah masih boleh guna tong gas hijau (subsidi). Syaratnya, tidak lebih daripada 3 tong gas 14kg pada satu masa. (Jumlah maksima 42kg)
“Ini bermakna, kalau Makcik Kiah guna 1 tong untuk goreng pisang, 1 untuk mee, 1 untuk air, Makcik Kiah masih layak guna tong hijau bersubsidi. Tak perlu tukar ke tong purple,’’ katanya menerusi kenyataan dalam Facebooknya hari ini.
Baru-baru ini Pemuda Umno Kota Melaka mempersoalkan wajarkah peniaga kecil dipaksa untuk menggunakan tong gas ungu tanpa subsidi sehingga mengakibatkan pertambahan kos kepada peniaga terbabit.
Sambil memberi contoh peniaga goreng pisang di tepi jalan, Pemuda Umno Kota Melaka berkata selepas menukar tong gas ungu tanpa subsidi, peniaga kecil terpaksa membayar RM70 untuk satu tong dengan kiraan RM840 sebulan untuk penggunaan tiga tong gas dalam seminggu.
Mengulas lanjut, Fuziah turut mengingatkan semua pihak tidak menakutkan rakyat dengan info yang kurang tepat.
“Yang penting, bantuan kerajaan sampai kepada yang benar-benar layak dan subsidi terus dinikmati oleh golongan kecil dan sederhana,’’ katanya.
Pelbagai pihak sebelum ini mendesak kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan LPG komersial atau penggunaan tong gas ungu kepada peniaga makanan dan industri kecil sederhana (IKS) kerana ia akan menyebabkan kenaikan harga makanan.
Tindakan berkenaan disifatkan sebagai tidak masuk akal malah implikasi kos yang tinggi terhadap peniaga kecil tidak boleh diketepikan. - 4 Jun, 2025
The post Peniaga kecil masih boleh guna tong gas hijau dengan syarat penggunaan tidak lebih 3 tong 14kg: Fuziah appeared first on Scoop.

