
Peniaga makanan dan minuman sudah semestinya harus menjaga kebersihan, ini kerana apa sahaja yang mereka jual dan hidangkan itu melibatkan kesihatan serta keselamatan pelanggan.
Terbaru, berkuat kuasa 1 Januari 2023, semua penyedia dan pengendali makanan serta minuman di Selangor diwajibkan memakai pelitup muka bagi meningkatkan tahap kebersihan.
Menurut laporan Berita Harian, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dalam hantaran di Facebook berkata pihak berwajib akan mengenakan kompaun terhadap peniaga yang gagal mematuhi arahan tersebut.
Merujuk kepada arahan Kerajaan Negeri Selangor, mensyaratkan pemakaian pelitup muka kepada penyedia, pengendali makanan…
Posted by Majlis Perbandaran Selayang on Tuesday, December 27, 2022
“Semua penyedia dan pengendali makanan di Selangor wajib mematuhi arahan tersebut sebagai salah satu kaedah untuk menjaga kebersihan,” tulisnya.
Sebelum ini, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) berkata pihak mereka turut akan meningkatkan penguatkuasaan pemakaian pelitup muka wajib itu terhadap peniaga makanan dan minuman berkuatkuasa tahun depan.
“Ini adalah sebahagian daripada usaha membiasakan semua pekerja yang mengendalikan makanan atau minuman menggunakan pelitup muka sebagai salah satu kaedah untuk menjaga kebersihan,” katanya.
Menurut Selangorkini, Yang Dipertua MPKj, Najmuddin Jemain memberitahu keputusan mewajibkan pemakaian pelitup muka bagi penyedia dan pengendali makanan serta minuman di Selangor telah dibuat pada 7 September lalu dalam mesyuarat bulanannya.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

