Ibu kutu mengaku salah anjur kumpulan wang kutu

LocalBusiness & Finance
12 Aug 2026 • 1:28 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Ibu kutu mengaku salah anjur kumpulan wang kutu

ALOR SETAR – Seorang wanita mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan menganjurkan kumpulan wang kutu terdiri daripada 52 peserta dari Julai pada tahun lalu hingga bulan lepas.

Tertuduh, Siti Zulaika Ahmad Sabri, 36, yang merupakan peniaga makanan membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim, Sharmila Abdul Samad.

Bagaimanapun mahkamah menetapkan 22 September depan untuk menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh.

Mengikut pertuduhan, dia yang beralamat di Kampung Padang Satu, Bukit Kayu Hitam, dekat sini, dituduh menganjurkan kumpulan wang kutu dengan setiap peserta dikehendaki membayar wang tunai kepada kumpulan tersebut.

Perbuatan yang didakwa melibatkan kumpulan terdiri daripada 52 peserta berusia antara 24 hingga 62 tahun didakwa berlaku dari Julai 2025 hingga bulan lalu yang mana ia adalah dilarang di bawah Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971 (Akta 28).

Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 3 Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fahmi Kamaluddin dan Vatchira Wong Rui Fern, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada prosiding itu, Muhammad Fahmi mencadangkan jaminan sebanyak RM100,000 kepada Siti Zulaika dengan mengambil kira nilai kerugian kes itu yang tinggi iaitu melebihi RM1 juta.

Beliau juga mencadangkan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak mengganggu, mendekati atau menghubungi mangsa-mangsa dalam kes tersebut, selain pasport atau pas sempadan diserahkan kepada pihak mahkamah.

Sharmila kemudian bertanyakan kepada tertuduh adakah dia mahu menyatakan sesuatu kepada mahkamah berhubung jaminan yang dicadangkan itu, namun wanita itu hanya menjawab tiada apa.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan jaminan kepada tertuduh dan menetapkan 22 September depan untuk fakta kes dan hukuman.

Dalam pada itu, suaminya yang berusia 39 tahun direman selama dua hari bermula hari ini dengan perintah tersebut dikeluarkan Majistret Siti Nor Hasliza Md Ali bagi membantu siasatan bagi kes di daerah Kota Setar.

Kosmo! pada 4 Ogos lalu melaporkan tiga beranak dari Bukit Kayu Hitam, dekat sini dilaporkan hilang sejak 20 Julai lalu sebelum polis tidak menolak kemungkinan kehilangan itu mempunyai kaitan dengan hutang permainan kutu.

Pasangan suami isteri berusia 39 dan 36 tahun itu kemudian tampil menyerahkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu, Jitra pada 6 Ogos lepas sebelum direman.

Sebanyak 35 laporan polis dibuat mangsa berusia antara 23 hingga 53 tahun terhadap wanita terbabit berhubung dakwaan penipuan wang permainan kutu membabitkan kerugian keseluruhan RM1.7 juta. – KOSMO! ONLINE

The post Ibu kutu mengaku salah anjur kumpulan wang kutu appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved