Maybank IB potong unjuran untung bersih CIMB pada FY25 sebanyak 4.3% disebabkan jangkaan kelemahan pertumbuhan KDNK

LocalBusiness & Finance
6 May 2025 • 11:07 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Maybank IB potong unjuran untung bersih CIMB pada FY25 sebanyak 4.3% disebabkan jangkaan kelemahan pertumbuhan KDNK

image is not available

06/05/2025 - 11:07

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Mei - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menurunkan unjuran untung bersih CIMB Group Holdings pada FY25 sebanyak 4.3% disebabkan jangkaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih rendah di rantau ASEAN.

Katanya, margin faedah bersih (NIM) untuk Malaysia lebih baik pada suku pertama 2025 tetapi ia diimbangi NIM yang lebih rendah untuk operasi di Singapura dan Thailand, secara amnya pengurusan menganggarkan
25bps dalam kadar faedah memberi impak 2bps kepada NIM kumpulan.

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu meramalkan pemotongan 25bps dalam kadar faedah tahun ini untuk Malaysia dan 75bps untuk Indonesia.

"Pasukan Ekonomi Maybank menjangkakan pemotongan 25bps dalam kadar faedah Malaysia tahun ini dan 50bps untuk Indonesia.

"Kami telah mengandaikan kesan yang lebih tinggi kepada NIM pada FY25 dan FY26, memandangkan NIM Singapura mungkin menguncup juga jika Fed mengurangkan kadar," katanya dalam satu nota kajian.

Maybank IB juga menjangkakan pertumbuhan CIMB menyusut kepada 4.5% berbanding sasaran pengurusan antara 5% hingga 7%.

Katanya, pada peringkat ini, masih belum ada kelembapan di untuk bahagian runcit, tetapi kebanyakan syarikat korporat mengamalkan sikap tunggu dan lihat.

Firma penyelidikan itu berkata, setakat ini, CIMB Niaga baru-baru ini melaporkan pertumbuhan pinjaman yang kukuh sebanyak 8.7%, walaupun ini dijangka terjejas sebahagiannya oleh pembayaran balik sederhana ke atas pinjaman korporat di Malaysia, Thailand dan Singapura.

"Terdapat juga beberapa kesan tukaran mata wang asing (forex) terhadap pertumbuhan pinjaman dengan kelemahan SG$ dan IDR.

"Memandangkan semakan menurun dalam ramalan pertumbuhan KDNK di seluruh rantau oleh ahli ekonomi, kami telah menurunkan unjuran pertumbuhan pinjaman kami sebanyak 0.5% untuk FY25 dan FY26 masing-masing kepada 4.5% dan 4.0%," katanya.

Maybank IB berkata, sebagai institusi kewangan domestik kedua terbesar di Malaysia dari segi saiz aset, sebarang kelembapan ekonomi di negara ini akan memberi kesan ke atas prestasi operasi kumpulan.

Katanya, dengan pendedahan serantau dalam pasaran utama seperti Indonesia, Thailand dan Singapura, ketidaktentuan ekonomi di rantau ini akan memberi kesan kepada operasi keseluruhan.

Firma penyelidikan menyemak turun penarafan kumpulan kepada "pegang" dengan harga sasaran RM7.60 sesaham.
- DagangNews.com

featured standard