Peningkatan gaji minimum buruh asing kepada RM2,000 berisiko jejaskan sektor pembinaan – Apex Securities

LocalBusiness & Finance
2 Oct 2026 • 11:30 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Peningkatan gaji minimum buruh asing kepada RM2,000 berisiko jejaskan sektor pembinaan – Apex Securities Image from: Peningkatan gaji minimum buruh asing kepada RM2,000 berisiko jejaskan sektor pembinaan – Apex Securities amree02/10/2026 - 11:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 2 Okt — Sektor pembinaan berdepan risiko peningkatan kos buruh asing jika kerajaan menyemak kadar gaji minimum dalam Belanjawan 2027, dengan kontraktor yang bergantung tinggi kepada pekerja asing akan paling terdedah kepada tekanan margin, menurut Apex Securities.

 

Firma penyelidikan tersebut menjangkakan kerajaan berpotensi mengumumkan semakan semula upah minimum bulanan baharu kepada sekitar RM2,000, berbanding kadar semasa hanya RM1,700, sebagai sebahagian usaha mengecilkan jurang gaji struktur dalam ekonomi semasa.

 

Bagaimanapun tambahnya, sebarang kenaikan kadar gaji akan meningkatkan kos tenaga kerja sektor pembinaan yang sememangnya sangat bergantung kepada ramai pekerja asing, selain kesan daripada peningkatan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi buruh luar.

 

"Tekanan kos itu berpotensi lebih ketara bagi kontraktor yang melaksanakan projek berintensifkan buruh dan kontrak pada harga tetap, kerana peningkatan kos sukar diserap balik tanpa menjejaskan margin keuntungan mereka," jelas Apex Securities dalam nota analisisnya. 

 

Sebaliknya ujar firma berkenaan, kontraktor berskala lebih besar dengan penggunaan teknologi automasi dan sistem binaan berindustri (IBS) dilihat mempunyai banyak ruang untuk menyerap kenaikan kos upah pekerja tersebut tanpa ada sebarang masalah timbul.

 

Selain itu, ia menjangkakan Belanjawan 2027 lebih merupakan tahun pelaksanaan projek berbanding pengumuman projek baharu, memandangkan buku tempahan sektor sudah disokong rangkaian projek rel, lebuh raya, air dan hubungan pengangkutan yang dibawa daripada Belanjawan 2026.

 

sektor pembinaan_DagangNews2026

 

Antara pemangkin utama sektor kata Apex Securities, ialah penganugerahan pakej Civil Main Contract 2 (CMC2) transit aliran ringan (LRT) Pulau Pinang yang dianggarkan bernilai RM5 bilion, dengan MRT Corp menyasarkan keputusan pemenang bidaan kontrak pada November 2026.

 

"Projek Johor Bahru Elevated Autonomous Rapid Transit (E-ART) turut menjadi perhatian setelah nilai dioptimumkan kepada sekitar RM8 bilion, manakala struktur pembiayaan dan perjanjian konsesi masih dalam semakan kerajaan dengan sasaran pemuktamadan menjelang akhir 2026," katanya.

 

Di samping itu, ia turut melihat transit aliran massa (MRT) fasa 3 sebagai pemacu pertumbuhan selepas Skim Kereta Api Muktamad diluluskan, dengan pengambilan tanah disasarkan selesai hujung 2026 dan tender utama berpotensi akhir 2026 hingga pertengahan 2027.

 

Dalam masa sama ujarnya, pembangunan pusat data (DC) kekal sebagai pemacu struktur sektor apabila 3.8GW kapasiti DC sedang dibina, yang diterjemahkan kepada anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah RM95 bilion berdasarkan kos RM20 juta hingga RM25 juta bagi setiap MW.

 

Menurut Apex Securities, aliran kerja pembinaan kekal sihat dengan nilai kerja pembinaan meningkat kira-kira 8.7% tahun ke tahun (YoY) kepada RM94.3 bilion pada separuh pertama 2026 (1H26) dengan disokong pelbagai aktiviti sektor swasta dan kerja kejuruteraan awam.

 

"Kami mengekalkan pendirian ‘overweight’ terhadap sektor pembinaan, dipacu potensi banyak projek infrastruktur utama, kos input yang semakin stabil, pemulihan sektor hartanah dan kitaran daripada pelaburan DC sendiri," jelas firma penyelidikan tersebut.

 

Namun, ia turut mengingatkan bahawa kelewatan pelaksanaan MRT3, perubahan levi pekerja asing dan potensi cukai karbon turut menjadi risiko yang perlu dipantau kontraktor. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved