SHAH ALAM - Kenaikan kadar gaji minimum perlu bergerak seiring dengan peningkatan produktiviti, kemahiran dan penciptaan nilai, bukan bergantung semata-mata kepada kenaikan berkanun gaji minimum.
Penasihat Kanan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) untuk Kerajaan, Media & Penglibatan Antarabangsa, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, pendekatan itu membolehkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) meningkatkan pendapatan pekerja tanpa memberi beban serta-merta yang tidak seimbang kepada kos operasi.
"Pertimbangan kerajaan terhadap mekanisme alternatif termasuk subsidi gaji di bawah Dasar Gaji Progresif menyediakan laluan lebih mampan untuk meningkatkan pendapatan pekerja tanpa mengenakan kenaikan yang diselaraskan secara menyeluruh dan serta-merta ke atas kos buruh berkanun.
“Gaji minimum harus menyediakan asas perlindungan, manakala mekanisme gaji progresif harus menyediakan laluan kepada pekerja untuk bergerak melepasi asas tersebut melalui tahap kemahiran, produktiviti dan kemajuan kerjaya yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, kerajaan bersetuju mengecualikan PMKS daripada pelaksanaan kenaikan kadar gaji minimum baharu melalui mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, kerajaan akan mengambil pendekatan lain untuk membantu meningkatkan gaji pekerja dalam sektor PMKS, termasuk sokongan subsidi gaji di bawah Dasar Gaji Progresif agar kenaikan bergerak seiring peningkatan produktiviti.
Mengulas lanjut, Syed Hussain memberitahu, MEF turut menyambut baik pelaksanaan berterusan kerajaan bagi Dasar Gaji Progresif (PWP), yang menyediakan mekanisme untuk kemajuan gaji dikaitkan dengan produktiviti, kemahiran dan sumbangan pekerja.
Beliau berkata, kerajaan telah menyatakan keberkesanan PWP akan dinilai secara menyeluruh menjelang penghujung 2026 atau awal 2027.
Dalam pada itu, keputusan akhir berhubung semakan gaji minimum termasuk kadar baharu, skop, masa dan syarat pengecualian bagi PMKS masih perlu menunggu pengumuman Belanjawan 2027.
“MEF menyokong sepenuhnya keputusan kerajaan untuk memberi penangguhan kepada PMKS daripada sebarang kenaikan lanjut ke atas gaji minimum RM1,700 pada peringkat ini.
“Pada masa yang sama, MEF menyedari bahawa keputusan akhir mengenai semakan semula gaji minimum dan aturan khusus untuk PMKS mesti menunggu pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila Belanjawan 2027 dibentangkan,” katanya.
Tambahnya lagi, pendekatan semasa dilihat lebih praktikal dan seimbang kerana dasar gaji perlu mengambil kira kemampuan perniagaan, terutama PMKS, untuk menyerap kos buruh yang lebih tinggi.
Pada masa sama, Syed Hussain memberitahu keputusan tersebut akan memberikan ruang bernafas yang sangat diperlukan oleh PMKS, yang terus berdepan dengan peningkatan kos operasi dan persekitaran perniagaan yang semakin kompetitif.






