
PETALING JAYA: Peningkatan peruntukan kepada RM490 juta bagi Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) membolehkan agensi itu memperkasa keupayaan operasi dan pengurusan sempadan negara.
Dalam Belanjawan 2027 diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, AKPS diperuntukkan RM490 juta berbanding RM37 juta pada tahun ini, iaitu peningkatan kira-kira lebih 1,000 peratus.
Menurut AKPS, peningkatan peruntukan itu mencerminkan keutamaan Kerajaan Madani dalam memperkukuh pengurusan sempadan secara bersepadu serta memantapkan peranan agensi berkenaan sebagai peneraju kawalan dan perlindungan sempadan negara.
Katanya, dalam masa sama, peruntukan RM22 bilion kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut memperlihatkan komitmen kerajaan dalam memperkasakan ekosistem keselamatan dalam negeri.
“AKPS turut mengambil maklum penekanan Belanjawan 2027 terhadap pengukuhan saringan keselamatan di lapangan terbang, termasuk pemasangan 48 mesin pengimbas badan dan bagasi baharu di lapangan terbang antarabangsa utama negara.
“Melangkah ke tahun 2027, AKPS akan memberi keutamaan kepada pemantapan pelaksanaan Skim Perkhidmatan AKPS, pengukuhan kompetensi pegawai dan Malaysia Border Guard (MBG), selain memperluas kesiapsiagaan operasi di pintu masuk yang diwartakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, persediaan pengoperasian penuh RTS Link Johor Bahru-Singapura turut menjadi keutamaan bagi memastikan AKPS memiliki keupayaan dan kapasiti seiring peningkatan pergerakan manusia, barangan dan perdagangan rentas sempadan.
“AKPS komited memastikan setiap peruntukan yang disalurkan dimanfaatkan secara berhemah, telus dan berimpak tinggi, berteraskan prinsip tatakelola baik, akauntabiliti dan integriti.
“Keutamaan AKPS bukan sahaja memastikan keselamatan pintu masuk negara sentiasa terpelihara, malah memperkukuh keyakinan rakyat dan pelabur terhadap sistem pengurusan sempadan Malaysia,” katanya.
AKPS turut komited mendukung Agenda Reformasi Kerajaan MADANI yang diterjemahkan melalui Inisiatif Reformasi Kementerian Dalam Negeri di bawah kepimpinan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Katanya, usaha itu bagi memastikan transformasi pengurusan sempadan negara dilaksanakan secara menyeluruh, mampan dan berkesan. – UTUSAN
The post Peningkatan peruntukan AKPS perkasa operasi, sempadan negara appeared first on Utusan Malaysia.






