KUANTAN - Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga menahan seorang lelaki disyaki terlibat dengan aktiviti aktiviti penyelewengan minyak diesel dan petrol hasil serbuan ke atas sebuah premis di Kampung Baru, Jalan Kuantan-Kemaman di sini, Isnin lalu.
Komandernya, Asisten Komisioner Mohd Khairuddin Jamal berkata, lelaki tempatan berusia 32 tahun dipercayai penjaga stor itu ditahan ketika berada di hadapan premis.
Menurutnya, hasil serbuan kira-kira jam 3.30 petang itu, pihaknya menemui dan merampas tiga buah tangki anggaran berisi 790 liter petrol dan 2,000 liter.
"Turut dirampas beberapa pam, tong dan telefon bimbit dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan lebih RM33,000," katanya.
Mohd Khairuddin berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti penglibatan saspek berkaitan barang kes yang dirampas.
Beliau berkata, tangkapan dan rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
"Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga akan terus mempergiatkan operasi bagi membanteras aktiviti penyelewengan dan penyeludupan bahan kawalan demi memastikan keselamatan serta kestabilan ekonomi negara terus terpelihara," katanya.






