
IPOH – Seorang penjaga stor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencabul dan mengaibkan kehormatan seorang pekerja sebuah kedai serbaneka, bulan lalu.
Tertuduh, Muhammad Haziq Danial Zulkifli, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret S. Punitha.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa berusia 19 tahun dengan niat mencabul kehormatannya dengan memeluk mangsa dari belakang sebelum memegang kedua-dua payudara wanita itu.
Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah kedai serbaneka di Panorama Lapangan Perdana di dalam daerah Kinta pada pukul 5.25 pagi, 24 Ogos 2026.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.
Tertuduh juga didakwa dengan niat mengaibkan kehormatan mangsa sama dengan melakukan perbuatan onani di hadapan wanita itu di lokasi, masa dan tarikh yang sama.
Pertuduhan terhadap lelaki itu dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulqarnain Wan Asmira mencadangkan jaminan sebanyak RM7,000 bagi kedua-dua pertuduhan, berserta syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Beliau turut memohon tarikh sebutan semula ditetapkan bagi tujuan serahan dokumen serta membolehkan tertuduh melantik peguam.
Sementara itu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), M. Kathan memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan mengambil kira keadaan tertuduh yang berusia 23 tahun dan bekerja sebagai penjaga stor dengan pendapatan RM1,900 sebulan.
Beliau berkata, tertuduh turut menanggung isteri yang tidak bekerja dan seorang anak berusia tujuh tahun.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin tempatan serta syarat tambahan tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai. – KOSMO! ONLINE
The post Penjaga stor tidak mengaku aib kehormatan pekerja kedai serbaneka appeared first on Kosmo Online.






