
IPOH: Seorang penjaga stor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan mencabul dan mengaibkan kehormatan seorang pekerja kedai serbaneka, bulan lalu.
Muhammad Haziq Danial Zulkifli, 23, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S. Punitha.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa berusia 19 tahun dengan niat mencabul kehormatannya dengan memeluk wanita itu dari belakang sebelum memegang kedua-dua payudaranya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah kedai serbaneka di Panorama Lapangan Perdana, daerah Kinta, pada 5.25 pagi, 24 Ogos lalu.
Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Tertuduh turut didakwa dengan niat mengaibkan kehormatan mangsa dengan melakukan perbuatan onani di hadapan wanita berkenaan di lokasi, masa dan tarikh sama.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zulqarnain Wan Asmira mencadangkan jaminan RM7,000 bagi kedua-dua pertuduhan selain memohon syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), M. Kathan pula memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan mengambil kira usia dan pendapatan bulanan tertuduh RM1,900 sebagai penjaga stor.
Beliau berkata, tertuduh turut menanggung isteri yang tidak bekerja dan seorang anak berusia tujuh tahun.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin tempatan serta syarat tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai. – UTUSAN
The post Penjaga stor tidak mengaku cabul, aib kehormatan pekerja kedai serbaneka appeared first on Utusan Malaysia.






