
MELAKA – Padah menyimpan klip dan gambar lucah serta mengugut mahu mencederakan muka bekas kekasihnya, seorang pemandu lori diperintahkan membayar denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini.
Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap S. Devesh, 22, yang mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah memiliki video dan gambar lucah dalam telefon bimbitnya kira-kira pukul 3.30 petang di pejabat cawangan D7 Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah pada 26 Mac lalu.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan.
Mengikut fakta kes, pada 7 Januari 2026, mangsa yang ketika itu berada di kediamannya di Bukit Katil telah menerima ugutan melalui gambar (lucah) miliknya daripada tertuduh dengan bahasa kesat memberitahu dia mahu memecah rumah serta muka bekas kekasihnya itu.
Mangsa yang berusia 29 tahun kemudian membuat laporan polis dan hasil siasatan mendapati terdapat fail gambar dan video berunsur lucah pada telefon bimbit tertuduh.
Terdahulu, peguam Nigel Tai Zhe dan L. Sharveen yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan diberikan dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM2,000 sebulan, selain mempunyai masalah kesihatan.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Zaidah Muhamad Zailani memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran terhadap tertuduh.
Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,500 atau penjara lima bulan jika gagal bayar.- KOSMO! ONLINE
The post Pemandu lori didenda RM2,500 simpan klip lucah bekas kekasih appeared first on Kosmo Online.






