
CYBERJAYA- Seorang lelaki tempatan berusia 30-an maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum bergeser dengan besi penghadang jalan di jalan Cyberjaya-Putrajaya pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.32 pagi itu, mangsa yang bekerja di sebuah pusat jagaan warga emas swasta disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersama seorang pembonceng wanita warga asing berusia 40-an dalam perjalanan dari arah Dengkil menghala ke Putrajaya.
“Apabila sampai di tempat kejadian, dipercayai penunggang motosikal telah hilang kawalan sebelum terbabas dan bergeser dengan besi penghadang jalan yang berada di sebelah lorong kiri lorong kecemasan.
“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya hari ini.
Menurut beliau, pembonceng motosikal pula mengalami kecederaan luka di bahagian muka serta leher dan sedang mendapatkan rawatan di Hospital Putrajaya.
Katanya, mangsa mempunyai lesen memandu yang masih sah tempoh.
“Kes telah disiasat dan diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dengan melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian,” katanya.
Norhizam turut menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat semasa kejadian berlaku diminta menghubungi atau hadir ke mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohamad Fadzil Zainol Abidin di talian 019-5588221 atau 03-87774264. – KOSMO! ONLINE
The post Penjaga warga emas maut, motosikal bergeser penghadang jalan appeared first on Kosmo Online.






