Penjara bukan pengakhiran karier selebriti

Entertainment
26 Sep 2026 • 11:45 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Penjara bukan pengakhiran karier selebriti

EPISOD hitam dipenjarakan sentiasa meninggalkan kesan mendalam kepada perjalanan hidup dan kerjaya seni seorang selebriti.
Antara kisah penjara artis Malaysia yang sedang hangat diperkatakan kini adalah perjalanan hidup penyanyi serta komposer, Yasin Sulaiman.

Diheret ke mahkamah akibat kes dadah berikutan masalah kesihatan mental yang dihadapi, Yasin pernah melalui detik-detik sukar di dalam penjara sebelum ditempatkan di Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Perak.

Selepas lebih empat tahun berdepan liku-liku perundangan, Yasin dibebaskan. Selain Yasin, ramai lagi artis popular di segenap pelosok dunia berdepan hukuman penjara, namun bangkit selepas dibebaskan.

Image from: Penjara bukan pengakhiran karier selebriti

Ameng Spring

PADA 12 April 2011, Ameng dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan dikenakan 10 sebatan atas kesalahan penyalahgunaan serta memiliki dadah. Meskipun hukuman ditetapkan selama lapan tahun, vokalis Spring itu bebas lebih awal iaitu sekitar pertengahan tahun 2016.

Ini bermakna dia menjalani hukuman sekitar lima tahun berikutan kelakuan serta disiplin yang cemerlang sepanjang berada dalam penjara.
Selepas dibebaskan pada tahun 2016, dia menyifatkan situasi dilalui umpama ‘hidup semula’ dan kembali aktif dalam seni.

Image from: Penjara bukan pengakhiran karier selebriti

Tony Eusoff

PADA Mac 2016, Tony Eusoff, 49, atau nama sebenarnya Anthony Joseph Hermas Rajiman ditahan pihak berkuasa di Singapura selepas didapati memiliki ganja. Ketika itu Tony berada di republik tersebut atas urusan kerja dan pementasan teater.

Pada 21 April 2016, dia dijatuhkan hukuman penjara lapan bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki dadah.
Tony bagaimanapun dibebaskan lebih awal iaitu selepas menjalani hukuman selama kira-kira lima bulan di penjara Singapura hasil kelakuan baik serta disiplin tinggi yang ditunjukkan.

Image from: Penjara bukan pengakhiran karier selebriti

Sofi Jikan

PELAKON Sofi Jikan pernah berdepan dengan hukuman penjara berkaitan kes penyalahgunaan dadah. Pada Februari 2018, Sofi atau nama lengkapnya Mohammad Shoffi Jikan ditahan pihak polis di Balai Polis Mutiara Damansara ketika hadir memberi keterangan susulan laporan polis yang dibuat pelakon Datuk Farid Kamil berhubung satu insiden perselisihan faham antara mereka pada Januari 2018.

Selepas melalui perbicaraan yang panjang, pada 31 Julai 2019, Mahkamah Majistret Petaling Jaya menjatuhkan hukuman penjara selama 12 bulan ke atas pelakon filem KL Gangster itu. Walau bagaimanapun, semasa keputusan diumumkan, pihak pembelaan memohon kebenaran untuk menangguhkan hukuman penjara bagi menunggu proses rayuan di peringkat mahkamah tinggi.

Image from: Penjara bukan pengakhiran karier selebriti

Ariel NOAH

KISAH penyanyi kumpulan NOAH, Ariel merupakan antara skandal paling besar dan menggemparkan sejarah industri hiburan Indonesia serta rantau Nusantara.

Pada Januari 2011, Ariel atau nama asalnya Nazril Irham dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun enam bulan atas kesalahan gagal mencegah penyebaran video ranjangnya bersama dua wanita.

Berkat kelakuan baik serta potongan hukuman, dia akhirnya dibebaskan secara bersyarat pada Julai 2012 selepas menjalani hukuman sekitar dua tahun sahaja.

Image from: Penjara bukan pengakhiran karier selebriti

Paris Hilton

DUNIA hiburan antarabangsa menjadi kecoh apabila sosialit terkenal, Paris Hilton dijatuhkan hukuman penjara akibat memandu secara mabuk pada 2006.

Pemilik nama penuh Paris Whitney Hilton itu sebenarnya harus menjalani hukuman percubaan (probation) selama 36 bulan dan menghadiri kelas pendidikan alkohol.

Namun pada awal 2007, pelakon filem The Hottie and The Nottie sekali lagi didapati melanggar syarat percubaan apabila dikesan memandu dengan lesen yang digantung dan gagal mematuhi arahan mahkamah.

Ekoran pelanggaran tersebut, Hakim Mahkamah Tinggi Los Angeles membatalkan tempoh percubaannya. Selepas baru sahaja menjalani hukuman selama beberapa hari, dia dilaporkan mengalami masalah kesihatan mental dan emosi yang teruk, lalu dipindahkan ke tahanan rumah atas nasihat pihak perubatan.

Walau bagaimanapun, hakim kemudiannya menolak keputusan tersebut dan mengarahkannya kembali ke penjara untuk menghabiskan baki hukuman. Selepas menjalani hukuman selama 23 hari secara keseluruhan kerana kelakuan baik, Paris akhirnya dibebaskan pada 26 Jun 2007.

The post Penjara bukan pengakhiran karier selebriti appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved