
Komposer dan penyanyi, Yasin Sulaiman, 51, tampil memohon maaf secara terbuka kepada Jabatan Penjara Malaysia susulan kenyataan yang dibuatnya dalam sebuah temu bual podcast baru-baru ini.
Yasin turut menarik balik kenyataan berkenaan selepas mengambil maklum penjelasan Jabatan Penjara Malaysia berkaitan perkara yang dikongsikannya mengenai pengalaman ketika berada di dalam penjara.
Menerusi video penjelasan yang dimuat naik di Instagram selain kenyataan media bertulis, Yasin berkata perkongsian tersebut dibuat berdasarkan perkara yang dialami dan difahaminya ketika melalui tempoh berkenaan.
“Saya Yasin Sulaiman, mengambil maklum penjelasan yang dibuat oleh Jabatan Penjara Malaysia berhubung beberapa perkara yang pernah saya kongsikan dalam podcast dan temu bual baru-baru ini mengenai pengalaman saya ketika berada di dalam penjara.
“Saya ingin menjelaskan bahawa perkongsian tersebut dibuat berdasarkan apa yang saya alami dan fahami ketika melalui tempoh berkenaan,” tulisnya dalam kenyataan media itu.
Menurut Yasin, pada ketika itu, sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Bahagia, dia sedang mengalami episod bipolar mania yang mungkin mempengaruhi cara dirinya melihat, mendengar, memahami dan mentafsir perkara di sekeliling.
Jelasnya, dia sama sekali tidak berniat untuk mencemarkan nama baik Jabatan Penjara Malaysia atau memperkecilkan tugas pegawai dan anggota yang berkhidmat di institusi berkenaan.
“Selepas mengambil maklum penjelasan Jabatan Penjara Malaysia dan melihat kembali keadaan yang saya lalui ketika itu, saya dengan ini menarik balik kenyataan terbabit.
“Saya kesal sekiranya perkongsian tersebut telah menimbulkan kekeliruan atau salah faham dalam kalangan masyarakat.
“Sehubungan itu, saya ingin memohon maaf kepada Jabatan Penjara Malaysia serta para pegawai dan anggotanya atas kekeliruan yang timbul,” katanya.
Pelantun lagu Nur Kasih dan Mimpi Laila itu berkata, dia menghargai tugas serta khidmat pegawai dan anggota Jabatan Penjara Malaysia yang memikul tanggungjawab besar dalam menjalankan amanah mereka.
“Saya ingin menjelaskan bahawa perkongsian tersebut tidak pernah dibuat dengan niat untuk mencemarkan nama baik jabatan atau memperkecilkan tugas pegawai dan anggota berkaitan,” katanya.
Yasin turut berharap penjelasan yang diberikan dapat memperbetulkan segala kekeliruan yang timbul susulan perkongsiannya sebelum ini serta membolehkan perkara berkenaan diselesaikan dengan baik.
Baca juga:“Dengan penjelasan ini, saya berharap segala kekeliruan yang timbul daripada perkongsian saya sebelum ini dapat diperbetulkan dan perkara ini dapat diselesaikan dengan baik,” ujarnya.






