KANGAR – Mahkamah Masjistret di sini membenarkan permohonan reman selama lima hari bermula Khamis ke atas seorang penjawat awam bagi membantu siasatan kerana disyaki menerima rasuah kira-kira RM200,000.
Lelaki berusia 57 tahun itu direman berkaitan urusan mendapatkan darjah kebesaran iaitu pingat dan bintang daripada sebuah pertubuhan dua tahun lalu.
Perintah reman sehingga 13 April itu dikeluarkan Majistret Nurul Natasha Rizal selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Kangar.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 57 tahun itu ditahan pada jam 2.40 petang pada Rabu di pejabat SPRM Perlis selepas hadir memberi keterangan.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menerima wang sebagai habuan bagi menguruskan pemberian pingat dan bintang daripada sebuah pertubuhan pada tahun 2024 dengan jumlah dianggarkan sekitar RM200,000,” katanya.
Tambah sumber itu, beberapa saksi turut dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis, Mohd Nor Adha Ab Gani mengesahkan penahanan lelaki terbabit dan memaklumkan siasatan lanjut masih dijalankan.
