Penjawat Awam Perlu Perbaiki Diri, Capai Kecemerlangan Dalam Perkhidmatan - PM

LocalPolitics
12 Nov 2025 • 5:43 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Semua penjawat awam perlu berusaha memperbaiki diri dan mencapai kecemerlangan dengan mengekalkan keikhlasan, tanggungjawab serta dan integriti dalam perkhidmatan awam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penjawat awam tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian semasa, sebaliknya perlu sentiasa terdorong untuk melakukan yang lebih baik.

Menurut beliau, kecemerlangan tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai slogan atau ukuran prestasi, tetapi sebagai cerminan amanah dan nilai yang mendasari sistem pentadbiran Malaysia.

“Kita mesti sentiasa berasa terdorong untuk memperbaiki diri, menggandakan usaha, dan melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin,” katanya semasa berucap pada Simposium dan Anugerah Pembangunan Negara 2025 hari ini.

Jelas Anwar, setiap idea dan inisiatif perlu digerakkan untuk memajukan negara serta melindungi kepentingan golongan yang terpinggir dan terabai.

“Pangkat, gelaran, penghormatan, pingat, atau jawatan tinggi tidak semestinya mencerminkan bahawa seseorang itu telah menunaikan amanahnya dengan keikhlasan, dedikasi, dan integriti,” katanya.

Menerusi ucapan sama, Perdana Menteri turut menzahirkan rasa syukur atas prestasi ekonomi Malaysia yang memberangsangkan dan menyifatkan ia sebagai antara terbaik di Asia.

“Pagi tadi saya umumkan bahawa langkah-langkah terbaharu kita amat menggalakkan, seperti pelaburan tertinggi pernah direkodkan, kadar pengangguran rendah, nilai ringgit mengukuh, dan prestasi ekonomi terbaik di Asia.

“Malaysia mungkin bukan negara dengan ekonomi besar, tetapi kita telah mencapai sesuatu yang luar biasa melalui keamanan, kestabilan politik, kerjasama antara pemimpin politik dan perkhidmatan awam, serta pelaksanaan dasar yang berkesan,” katanya.

Tegas beliau, pembangunan negara yang sebenar bukan hanya tertumpu pada kemajuan teknologi semata-mata, tetapi perlu berasaskan pembangunan insan yang holistik berteraskan nilai, etika, dan tanggungjawab sosial.

“Pembangunan insan mesti meliputi sifat empati, kasih terhadap keluarga, dan keprihatinan terhadap keperluan golongan yang lemah,” katanya, sambil menegaskan kejayaan negara bergantung kepada pemimpin dan pegawai yang melaksanakan tugas dengan ikhlas, bukan kerana mengejar pengiktirafan atau status.

“Adakah kita benar-benar melakukan yang terbaik? Adakah memegang pangkat atau menerima anugerah bermakna kita telah menunaikan amanah sepenuhnya? Pembangunan mesti mempertahankan mereka yang tertinggal atau terpinggir,” ujarnya.

Tambah Perdana Menteri, kejayaan Malaysia menarik pelaburan dan mengekalkan kestabilan bukanlah sesuatu yang mudah, memandangkan saiz ekonominya yang sederhana.

“Bagi negara seperti Malaysia, pencapaian ini bukan perkara kecil. Kita mempunyai ekonomi yang sederhana, namun berjaya menarik pelaburan tinggi dan mengekalkan kestabilan politik,” katanya.

Beliau turut menekankan keperluan menggabungkan nilai pembangunan tradisional dengan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan, transformasi tenaga, dan inovasi, sambil memelihara agama, budaya, dan perpaduan negara.

“Kerja kita adalah satu amanah. Kita mesti terus membangunkan diri, keluarga, dan negara dengan keikhlasan serta tekad yang jitu. Ia bukan perkara mudah, tetapi usaha yang tulen akan membuahkan hasil meyakinkan untuk rakyat dan negara.

“Tekad anda semua untuk memajukan negara bukan tugas yang mudah. Setiap hari datang dengan cabaran baharu, itulah lumrah kehidupan,” katanya.  - Getaran, 12 November 2025