Penjawat awam rugi RM55,334 diperdaya sindiket iklan 'side income' di media sosial

LocalBusiness & Finance
16 May 2026 • 2:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Penjawat awam rugi RM55,334 diperdaya sindiket iklan 'side income' di media sosial
Seorang penjawat awam mengalami kerugian RM55,334 selepas menjadi mangsa penipuan tawaran kerja sambilan tidak wujud di media sosial - Gambar kecil (Azli)

KUALA TERENGGANU – Hasrat seorang penjawat awam untuk menjana pendapatan sampingan membawa padah apabila mengalami kerugian RM55,334 selepas menjadi mangsa penipuan tawaran kerja sambilan tidak wujud di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa yang merupakan seorang wanita berusia 33 tahun menyedari dirinya diperdaya selepas gagal mengeluarkan wang keuntungan yang dijanjikan daripada akaun digitalnya.

Menurutnya, kejadian bermula pada 11 Mei lalu apabila mangsa terlihat satu iklan menjana pendapatan sampingan (side income) ketika berada di rumahnya di sini.

"Mangsa kemudiannya menekan pautan pada iklan tersebut sebelum dihubungkan dengan satu akaun aplikasi Telegram yang mendakwa dirinya sebagai mentor pentadbiran sebuah syarikat.

"Suspek memperkenalkan beberapa pilihan pakej kerja sambilan dengan tugasan membuat pengesahan produk melalui satu platform digital," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Azli berkata, pada peringkat awal, mangsa diminta mendaftar sebagai ahli dan menerima baki digital RM30 serta bonus RM10.

Jelas beliau, bagi tiga tugasan pertama, mangsa turut menerima pulangan wang sebanyak RM1,176 sekali gus membuatkan wanita itu percaya pelaburan tersebut adalah sah.

"Siasatan mendapati mangsa kemudian dipelawa menaik taraf pakej keahlian untuk komisen lebih tinggi dan diarahkan berurusan dengan seorang ‘admin’ bernama Encik Helmi dalam satu kumpulan Telegram yang dianggotai empat individu lain.

"Kumpulan tersebut diarahkan melakukan tugasan bermodalkan RM3,350 dengan janji komisen RM2,250. Mangsa yang yakin kemudian membuat pindahan wang ke sebuah akaun bank.

"Mangsa kemudiannya dimaklumkan oleh suspek bahawa dia telah melakukan kesilapan kerana membuat pengesahan melebihi had dan diarahkan membayar RM16,450 untuk membetulkan kesilapan itu," katanya.

Tambah beliau, suspek turut menggunakan taktik psikologi dengan mengugut bahawa ahli kumpulan lain tidak akan menerima komisen sekiranya mangsa gagal membuat bayaran.

"Salah seorang ahli kumpulan tersebut yang dipercayai ahli sindiket mendakwa dirinya merupakan seorang suri rumah yang mempunyai anak sakit tenat.

"Akibat bimbang menyusahkan ahli lain, mangsa akur dan memindahkan wang RM16,450 ke akaun bank yang diberikan," jelas beliau.

Katanya, taktik licik sindiket tidak berhenti di situ apabila mangsa kemudiannya diberitahu bahawa keuntungan tugasan kumpulan mereka telah meningkat sehingga RM440,000 dan bagi mengeluarkan wang kemenangan tersebut, mangsa didakwa perlu membayar cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebanyak lapan peratus.

"Terpedaya dengan helah berkenaan, mangsa sekali lagi melakukan dua transaksi pembayaran berjumlah RM35,534 ke dalam dua akaun bank berbeza antara 12 hingga 15 Mei lalu.

"Mangsa akhirnya sedar ditipu selepas wang simpanannya habis dan sistem digital berkenaan masih gagal mengeluarkan sebarang keuntungan yang dijanjikan sebelum tampil membuat laporan polis pada Jumaat," katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.