Penjenamaan Semula PAS Tugas Berat, Persepsi Awam Sukar Diubah - Penganalisis

LocalPolitics
16 Jun 2026 • 10:36 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

KUALA LUMPUR - Usaha menjenamakan semula imej PAS sebagai parti yang lebih sederhana dijangka berdepan cabaran besar. memandangkan persepsi awam terhadap parti itu sebagai sebuah gerakan berhaluan kanan tegar telah lama terbentuk.

Penganalisis politik, Dr Azmi Hassan berkata, reputasi PAS sebagai parti politik berhaluan kanan tegar, sukar diubah hanya menerusi naratif atau usaha individu tertentu.

Menurut beliau, persepsi berkenaan tidak mudah dipadamkan, tanpa mengira naratif yang cuba dibawa.

“Kewujudan lebih ramai pemimpin dan ahli PAS yang mempunyai pandangan lebih tegas terus mengukuhkan persepsi sedia ada terhadap parti itu.

“Malah, terdapat ramai dalam PAS yang pandangannya lebih ekstrem berbanding Datuk Zaid Ibrahim. Zaid sendiri juga boleh dilihat mempunyai pandangan yang tegas, walaupun dari perspektif berbeza,” katanya.

Zaid Ibrahim - Gambar fail
Zaid Ibrahim - Gambar fail

Azmi menyatakan demikian sebagai mengulas pendirian bekas menteri undang-undang itu, yang berikrar mengubah persepsi terhadap PAS sebagai sebuah parti yang ekstrem dan anti-demokrasi.

Sabtu lalu, Zaid berikrar membalas kepercayaan yang diberikan oleh kepimpinan PAS dengan membantu membentuk imej baharu parti tersebut.

Beliau merupakan antara 15 individu yang diumumkan menyertai PAS dalam satu ceramah umum di Seremban, Negeri Sembilan.

Zaid berpandangan, PAS merupakan satu-satunya parti majoriti Melayu yang mempunyai kekuatan dan keazaman untuk menghapuskan ketidaksamaan, hegemoni dan keistimewaan berasaskan kelas.

Menurutnya, prinsip Islam akan menjadi asas utama kepada kerajaan yang diperjuangkan oleh parti terbabit. 

Beliau juga optimis PAS berpotensi mentadbir Malaysia bersama Ahli Parlimen progresif yang mempunyai pandangan sehaluan selepas pilihan raya umum akan datang.

Mengulas lanjut Azmi berkata, rekod pendirian politik Zaid sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini boleh menimbulkan persoalan mengenai konsistensi dan kredibiliti pandangannya.

“Zaid dikenali kerana pernah bergerak merentasi beberapa parti politik, dan pendiriannya tidak sentiasa konsisten.

“Ini menyukarkan orang ramai untuk menerima sepenuhnya usaha beliau dalam membentuk semula imej PAS,” katanya. - Getaran, 16 Jun 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved