Penjual ayam curi dua Honda EX5 dijel 24 bulan

5 Oct 2026 • 3:47 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Penjual ayam curi dua Honda EX5 dijel 24 bulan

BACHOK: Seorang penjual ayam bersama adiknya dan dua remaja didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua tuduhan mencuri dua buah motosikal jenis Honda EX5, bulan lalu.

Muhammad Bismi Aiman Zakaria, 22, bersama adiknya, Muhammad Ridwan, 20, dan seorang remaja berusia 16 tahun mengaku bersalah selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Fakhrul Razzi Abd. Hamid.

Seorang lagi remaja berusia 18 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama, keempat-empat lelaki itu dituduh bersama-sama mencuri sebuah motosikal jenis Honda EX5 bernilai RM3,000 daripada milik seorang wanita berusia 40 tahun di depan sebuah rumah di Perumahan Orang Kurang Upaya, Kampung Aur Telong di sini, kira-kira pukul 3 pagi pada 8 September lalu.

Pertuduhan kedua, kesemua tertuduh didakwa bersama-sama mencuri motosikal jenis sama daripada milikan seorang lelaki berusia 32 tahun di depan sebuah rumah di Kampung Kubang Perupok di sini kira-kira pukul 1 pagi pada 15 September 2026.

Pertuduhan terhadap keempat-empat tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Aiman Syahmi Yazid manakala kesemua tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Norizaidah Abdul Salam.

Norizaidah dalam rayuannya memohon hukuman diringankan dengan alasan Muhammad Bismi dan adiknya bekerja sebagai penjual ayam selain perlu menjaga bapa yang menghidap penyakit kronik.

“Ibu dua beradik itu  bekerja sebagai tukang cuci. Mereka berdua perlu menyara seorang adik yang masih bersekolah.

“Selain itu, remaja berusia 18 tahun pula baru tamat persekolahan manakala seorang lagi tertuduh masih bersekolah di Bachok dan ibu bapanya telah bercerai,” katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan bagi pertuduhan pertama dan 24 bulan untuk pertuduhan kedua terhadap Muhammad Bismi dengan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 24 September lalu.

Mahkamah turut membenarkan jaminan masing-masing RM10,000 dengan seorang penjamin kepada Muhammad Ridwan dan remaja berusia 18 tahun manakala remaja berusia 16 tahun pula dibenarkan ikat jamin RM4,000.

Mahkamah menetapkan 25 November ini untuk sebutan semula kes dan ketiga-tiga tertuduh membayar jaminan tersebut. – UTUSAN

 

The post Penjual ayam curi dua Honda EX5 dijel 24 bulan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved