
KLUANG – Seorang lelaki maut manakala seorang lagi parah selepas dua motosikal bertembung di Jalan Yap Tau Sah di sini petang tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Superintenden Nik Mohd Azmi Hussin berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 2.24 petang tadi melibatkan Muhammad Adam Paulus Abdullah, 48, yang menunggang motosikal Honda Vario 150.
“Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari arah bulatan Yap Tau Sah menuju ke Taman Kluang Indah.
“Dalam masa sama, sebuah motosikal Yamaha Lagenda 110 yang ditunggang Mohd Ashadi Hashim, 46, bersama anaknya, Nur Arissa, 12, datang dari arah bertentangan,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati motosikal ditunggang Mohd Ashadi dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal ditunggang Muhammad Adam.
“Akibat pertembungan itu, Muhammad Adam mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mohd Ashadi pula mengalami patah kedua-dua tangan serta pendarahan di kepala, manakala Nur Arissa tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Tambahnya, kedua-dua mangsa lelaki dibawa ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk proses bedah siasat dan rawatan.-KOSMO! ONLINE
The post Seorang maut, seorang parah dua motosikal bertembung appeared first on Kosmo Online.






