
TAMPIN – “Kalau apa-apa, tolong jaga anak akak.”
Itu antara pesanan Allahyarham Siti Nur Aishah Hamdan, 26, kepada adiknya, Siti Nur Najihah, 22, kira-kira lapan bulan lalu sebelum terlibat dalam kemalangan maut bersama suami di Gemencheh, pagi tadi.
Dalam kejadian berkenaan, Siti Nur Aishah maut di lokasi kejadian manakala suaminya, Muhammad Taufiq John Abdullah, 27, disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Gemencheh, manakala anak lelaki mereka berusia empat tahun dilaporkan kritikal.
Menurut Siti Nur Najihah, kemalangan itu turut menyebabkan dua lagi anak buahnya berusia tiga dan empat tahun menjadi yatim piatu sekelip mata.
“Sebelum saya mengandung, arwah pernah pesan supaya saya jaga anak-anaknya. Ketika itu saya tak terfikir apa-apa pun dan tidak menyangka pesanan itu akan menjadi kenyataan seperti sekarang.
“Sabtu lalu, dia cakap dia rindu. Arwah nak balik ke Durian Tunggal, Melaka. Rancangnya hari ini. Dia tanya saya ada di rumah tak. Masa itu saya sedang bekerja dan kami sempat berhubung sekejap,” katanya di sini.
Jenazah suami isteri itu dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Taman Inang Sari, Beringin, Durian Tunggal, Melaka. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Apa-apa jadi, tolong jaga anak akak’ appeared first on Kosmo Online.






