Penjual buah hantar adik naik motosikal dari Melaka ke UUM

1 Oct 2024 • 6:42 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohd Foad (dua kanan) menyambut Tai Zhi (tiga kanan) bersama abangnya, Tai Qing di i Bangunan Canselori UUM pada Selasa. Foto UUM

SINTOK - Seorang penjual buah-buahan, Ee Tai Qing sanggup menghantar adiknya dengan menaiki motosikal dari Sungai Udang, Melaka ke Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini bagi pendaftaran pelajar baharu pada pagi Selasa.

Lelaki berusia 27 tahun itu memulakan perjalanan bersama Eee Tai Zhi sejak Ahad lalu dengan jarak perjalanan sejauh 613 kilometer.

Mereka tiba di Bangunan Canselori UUM dan disantuni Naib Canselor, Prof Datuk Dr Mohd Foad Sakdan dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UUM, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed.

Tai Zhi, 21, akan mengikuti Program Sarjana Muda Pengurusan Hospitaliti dan beliau berjanji akan memberikan fokus selepas kuliah bermula.

"Saya tak menduga mendapat pilihan program yang saya minati dan ingin menimba pengalaman baru di Lembah Sintok.

"Saya berjanji untuk memberi tumpuan penuh dan mengambil segala ilmu yang diajar pensyarah berpengalaman," katanya yang dipetik melalui Facebook UUM.

Tai Zhi antara 4,195 pelajar baharu UUM mendaftar di Sintok terdiri daripada pelajar tempatan dan antarabangsa yang mengikuti 48 program pengajian Sarjana Muda sesi 2024/2025.

Sementara itu, Mohd Foad berkata, daripada jumlah itu, 4,061 pelajar terbabit merupakan pelajar tempatan lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Diploma, Matrikulasi, Asasi Pengurusan UUM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Menurutnya, seramai 3,860 adalah pengambilan melalui Bahagian Kemasukan Pelajar Institut Pengajian Tinggi (BPKA) atau UPU dan 201 lagi adalah lepasan Asasi Pengurusan UUM.

“Kita menerima 77 pelajar antarabangsa iaitu 64 orang dari Indonesia, 12 pelajar China dan seorang dari Bangladesh bagi pengajian peringkat Sarjana Muda.

"Seramai 57 orang lagi pelajar antarabangsa adalah peserta mobiliti iaitu 34 orang dari Indonesia, 11 dari China, 7 pelajar dari Jepun, 3 dari Brunei dan 2 lagi pelajar Perancis menjadikan jumlah keseluruhan pelajar antarabangsa 134 orang,” katanya pada sidang akhbar pada Selasa.