Penjual ‘hilang’ selepas terima bayaran

LocalBusiness & Finance
31 Oct 2026 • 8:45 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Penjual ‘hilang’ selepas terima bayaran

PETALING JAYA – Ribuan pembeli dalam talian terjerat dengan taktik licik peniaga ‘hantu’ yang memperdaya mangsa dengan pelbagai tawaran menarik terutama harga murah sebelum lesap sebaik sahaja wang diterima.

Sekurang-kurangnya 30 pembeli di seluruh negara menjadi mangsa penipuan dalam talian setiap hari sejak awal tahun lalu hingga September lalu.
Angka itu berdasarkan keseluruhan 9,533 aduan yang diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam tempoh berkenaan.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam (gambar) berkata, kebanyakan kes penipuan melibatkan platform e-dagang yang tidak berdaftar dengan pihak berkuasa serta dikendalikan oleh individu menerusi akaun media sosial ma­sing-masing.

Katanya, perkara itu sukar untuk dikesan memandangkan penjual itu tidak berdaftar secara sah dengan pihak kementerian serta agensi berkaitan.

“Banyak kita dapat kes peni­puan ini melibatkan mereka yang membeli di akaun persendirian seperti yang diiklankan di Facebook, laman sesawang sesuatu produk serta siaran langsung (live) individu tertentu.

“Kita sukar kesan siapa pemilik sebenar syarikat yang menjual produk atau individu yang iklankan barangan jualan kerana kebanyakan mereka menyamar di sebalik akaun palsu.

“Bagi platform e-dagang yang sah (contoh Shopee, TikTok, Lazada) jarang kes dilaporkan kerana mereka terikat dengan undang-undang serta akta dan perlu berdaftar dengan pihak berkuasa,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Menurutnya, secara keseluruhan, sepanjang lima tahun sejak 2022 hingga September lalu, sebanyak 51,767 kes penipuan dilaporkan kepada pihak KPDN.

Antara modus operandi penipuan yang kerap dikesan ialah menawarkan harga terlalu murah berbanding pasaran, menyamar sebagai penjual atau pemilik jenama terkenal serta mendesak pengguna membuat bayaran deposit atau penuh sebelum pesa­nan dihantar.

“Scammer turut menggunakan nombor penjejakan dan pautan penghantaran palsu bagi meyakinkan pembeli bahawa pesanan sedang diproses.

“Terdapat juga kes pengguna menerima barangan yang tidak menepati spesifikasi, kualiti atau seperti gambar yang diiklankan,” ujarnya.

Menurutnya, lebih membimbangkan apabila ada penjual menghilangkan diri, menutup akaun atau menyekat nombor telefon pembeli sejurus bayaran diterima.

Bagi mengatasi perkara itu katanya, KPDN telah mengambil pendekatan menyeluruh bagi menangani penipuan transaksi dalam talian melalui pendidikan pengguna, pemantauan platform e-dagang, pengurusan aduan menerusi portal e-Aduan serta tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.

“Pengguna yang mengalami kerugian juga boleh membuat tuntutan tebus rugi melalui Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) sehingga RM50,000, termasuk tuntutan pemula­ngan wang atau penggantian
barangan.

“Kes yang mempunyai unsur jenayah penipuan pula akan dirujuk kepada Polis Diraja Malaysia atau agensi berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing,” ujarnya.

Azman juga menyeru pembeli supaya menyimpan semua bukti transaksi, termasuk resit pembayaran, tangkap layar iklan, rekod perbualan dan maklumat penjual.

Katanya, pengguna juga perlu menghubungi platform e-dagang untuk mendapatkan penjelasan serta menyimpan rekod komunikasi.

“Aduan berkaitan kepenggunaan juga boleh dikemukakan menerusi Portal e-Aduan KPDN,” katanya.

The post Penjual ‘hilang’ selepas terima bayaran appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved