Sunway REIT jual kampus universiti kepada Sunway College pada harga RM613 juta

LocalBusiness & Finance
5 May 2025 • 9:36 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sunway REIT jual kampus universiti kepada Sunway College pada harga RM613 juta

image is not available

05/05/2025 - 09:36

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 5 Mei - Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT), menjual kampus Sunway University kepada Sunway College (KL) Sdn Bhd pada harga RM613 juta secara tunai.

Sunway REIT berkata, penjualan tersebut merupakan sebahagian daripada strategi pengitaran aset kumpulan. Sebanyak RM605 juta daripada hasil jualan akan digunakan untuk pelaburan baharu dalam tempoh 12 bulan.

"Sekiranya tidak dilaburkan dalam tempoh tersebut, dana itu akan digunakan untuk pembayaran balik pinjaman," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Langkah itu dijangka menurunkan nisbah hutang kepada aset bersih daripada 41% kepada 38%, sekali gus menjimatkan kos pembiayaan tahunan sebanyak RM24 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Sunway REIT menjelaskan, pelupusan itu mungkin mengurangkan agihan pendapatan sesaham (DPU) bagi tahun kewangan 2025 daripada 10 sen kepada 9.66 sen.

Namun, pendapatan daripada aset baharu seperti Sunway REIT Hypermarkets, Sunway 163 Mall dan hartanah lain yang diperoleh pada 2024 dijangka menampung penurunan tersebut.

Jumlah keseluruhan agihan pendapatan dijangka menurun kepada RM331 juta berbanding RM342.48 juta sebelum ini.

Sunway REIT membeli hartanah itu pada 2019 dengan harga RM550 juta dan telah melabur RM8 juta untuk kerja-kerja naik taraf. Menjelang Disember 2024, nilainya meningkat kepada RM586 juta dengan keuntungan nilai saksama sebanyak RM20 juta.

Harga jualan RM613 juta adalah 4.6% lebih tinggi daripada nilai tersebut dan dijangka memberi keuntungan tambahan sebanyak RM21 juta apabila transaksi diselesaikan pada separuh kedua 2025.

Dalam pada itu, pemegang unit utama, Datin Paduka Sarena Cheah yang merupakan anak kepada Pengerusi Sunway, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah tidak terlibat dalam sebarang keputusan berkaitan transaksi itu bagi memastikan tadbir urus korporat dipatuhi.

Kedua-duanya juga tidak mempunyai sebarang pegangan langsung dalam Sunway Education Group atau Sunway College.- DagangNews.com

standard