liza06/01/2026 - 12:49 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Jan – SD Guthrie Bhd dijangka terus memfokuskan usaha kepada penjualan tanah perindustrian yang mampu mengimbangi margin perladangan bagi menyokong keuntungan pada 2026, menurut CIMB Securities.
Firma penyelidikan itu menjangkakan keuntungan daripada jualan tanah akan meningkat pada 2026, disokong oleh 8 usaha sama berkaitan tanah di Johor, Selangor dan Negeri Sembilan yang masih menunggu jualan atau berada pada peringkat memorandum persefahaman (MOU).
“SD Guthrie menyatakan hasrat untuk memanfaatkan kira-kira 1,000 hektar tanah setiap tahun yang boleh menyumbang antara RM500 juta hingga RM700 juta kepada keuntungan tahunan syarikat.
“Jika sasaran ini tercapai, keuntungan bersih tahunan kumpulan dijangka mencecah sekitar RM2.5 bilion, melebihi unjuran keuntungan bersih teras sebanyak RM1.8 bilion hingga RM1.9 bilion,” kata CIMB Securities dalam nota kajiannya.
Firma tersebut berkata keuntungan daripada jualan tanah masih tidak dimasukkan dalam ramalan keuntungan teras, kerana segmen ini masih baharu bagi kumpulan SD Guthrie.
Antara MOU terbaru Kumpulan itu ialah dengan Permodalan Darul Ta’zim, bagi meneroka pembangunan taman perindustrian bercampur seluas 5,000 ekar di Kulai, Johor.
Projek ini dijangka mampu menjana keuntungan jualan tanah yang besar.
Berdasarkan harga jualan anggaran RM15 sekaki persegi dan pegangan 20% yang dikekalkan oleh SD Guthrie, CIMB menganggarkan potensi keuntungan jualan tanah sekitar RM1.9 bilion.
“Dari segi perladangan, kami menjangkakan harga minyak sawit mentah akan kekal stabil dalam jangka sederhana, disokong oleh kekurangan bekalan dan permintaan yang dipacu dasar kerajaan.
“Keadaan ini memberi manfaat besar kepada pengusaha sawit berskala besar seperti SD Guthrie,” katanya.
Bagaimanapun, keuntungan bersih suku keempat 2025 SD Guthrie berpotensi terjejas jika harga minyak sawit mentah purata lebih rendah dan pengeluaran tandan buah segar (FFB) menurun, walaupun syarikat telah mengunci harga jualan lebih tinggi untuk operasi di Malaysia.
CIMB mengekalkan cadangan Beli bagi saham SD Guthrie dengan harga sasaran tidak berubah pada RM6.01, berdasarkan potensi kenaikan daripada keuntungan jualan tanah dan dividen yang lebih tinggi. - DagangNews.com

