PERBINCANGAN mengenai kematian dan perancangan harta bukan topik popular dalam masyarakat kerana dianggap sensitif, menakutkan atau terlalu awal untuk dibahaskan.
Namun, di sebalik cabaran persepsi tersebut, PennaWaris Sdn Bhd mengambil tanggungjawab membuka ruang kesedaran bahawa perancangan harta bukan sekadar soal selepas kematian, sebaliknya amanah hidup bagi memastikan legasi keluarga sampai kepada waris yang berhak.
Tanggungjawab tersebut bukan mudah. Dalam keadaan kesedaran masyarakat terhadap pengurusan pusaka masih rendah, firma perunding berkenaan mengambil pendekatan dengan mendidik sebelum menggalakkan orang ramai membuat perancangan, kerana setiap keluarga mempunyai cerita, kedudukan harta dan cabaran waris yang berbeza.
Pengasas Pennawaris Sdn Bhd, Dr Anne Ismail berkata, ramai yang hanya mula bertindak selepas berlaku kematian, sedangkan pada ketika itu proses pengurusan pusaka menjadi lebih rumit, memakan masa dan berpotensi mencetuskan konflik dalam keluarga.
Kerana itu tegas beliau, misi utama PennaWaris adalah memberi pendedahan dan ilmu kepada masyarakat mengenai kepentingan perancangan serta pengurusan harta pusaka lebih awal.**media[3539865]**
"Kita mahu masyarakat faham dahulu ilmu perwarisan itu sendiri sebelum membuat perancangan. Setiap orang ada cerita, keluarga, nilai harta dan matlamat yang berbeza.
"Cabaran terbesar dalam usaha meningkatkan kesedaran ni ialah sikap masyarakat yang masih kurang mempunyai rasa mendesak untuk merancang harta," katanya kepada Sinar Bisnes.
**media[3539865]**
Jelas beliau, ramai yang beranggapan soal pusaka boleh ditangguhkan, berbeza dengan isu kesihatan yang biasanya menuntut tindakan segera.
Lebih membimbangkan, katanya, masih wujud persepsi dalam kalangan masyarakat Melayu bahawa pembahagian harta boleh diserahkan sepenuhnya kepada faraid selepas berlaku kematian.
"Ramai menyangka semua urusan harta selesai melalui faraid apabila seseorang meninggal dunia, sedangkan faraid tidak semestinya sesuai dalam semua keadaan seperti melibatkan anak angkat, anak tidak sah taraf atau mualaf yang mungkin tidak layak mewarisi harta.
"Bagaimanapun, terdapat kaedah lain yang dibenarkan bagi memastikan golongan berkenaan tetap mendapat manfaat," katanya.
Menurut Anne, isu berkenaan perlu difahami bagi menangani peningkatan harta umat Islam tidak dituntut yang dianggarkan mencecah RM90 bilion.
Beliau berkata, angka itu mencerminkan legasi keluarga yang tergantung, aset tidak dimanfaatkan serta waris yang berdepan proses panjang akibat tiada perancangan awal.
Katanya, PennaWaris menekankan penyampaian maklumat yang tepat, jujur dan berperingkat kerana isu pusaka sering melibatkan emosi, hak, hutang serta harapan waris.
**media[3539866]**
"Perancangan awal dan pelantikan pentadbir atau wasi adalah kunci utama. Dengan panduan yang betul, proses pengurusan pusaka boleh menjadi lebih cepat, kos dan masa dapat dikurangkan dan urusan waris menjadi lebih lancar.
"Kena ingat, perancangan harta bukan hanya tentang aset, tapi sebenarnya juga melibatkan tanggungjawab menyelesaikan hutang si mati," katanya.
Tanggungjawab lebih besar
Anne mengakui usaha mendidik masyarakat mengenai perancangan harta bukan mudah dan memerlukan kesabaran tinggi, namun beliau menganggapnya sebagai tanggungjawab sesama insan.
Usaha berterusan PennaWaris sejak 2022 turut diiktiraf menerusi Anugerah Ikon Perancangan Harta dan Perusahaan, Bisnes Sinar Awards (BISA) 2026.
Menurutnya, pengiktirafan itu menjadi pemangkin untuk terus mendidik masyarakat serta meningkatkan kesedaran bahawa perancangan pusaka tidak wajar ditangguhkan.
"Kerjasama pemain industri penting bagi memperluas kesedaran mengenai perancangan harta dalam kalangan umat Islam.
"Matlamatnya adalah membantu individu membina legasi agar waris mendapat manfaat daripada harta yang ditinggalkan," katanya.




