Pensyarah, penuntut ADTEC Jerantut cipta tangan palsu guna botol plastik

LocalTechnology
7 Sep 2026 • 7:33 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pensyarah, penuntut ADTEC Jerantut cipta tangan palsu guna botol plastik

JERANTUT: Pensyarah dan penuntut Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Jerantut mencipta tangan palsu menggunakan botol plastik terpakai, sekali gus memberi harapan baharu kepada golongan orang kurang upaya (OKU) dan mangsa kemalangan.

Ketua pasukan, Azwan Felani Ariffin berkata, hasil inovasi itu bukan sahaja selesa kerana ringan, malah peralatan tersebut efisien, perbelanjaan murah dan penggunaan lebih lama selain menyokong usaha kelestarian alam sekitar.

“Inovasi tangan palsu ini memasuki versi ketiga selepas melalui dua fasa penambahbaikan sejak projek ini bermula pada 2019. Versi pertama cuma berfungsi sebagai anggota kosmetik tanpa pergerakan mekanikal sebelum versi kedua diperkenal dengan sistem pergerakan menggunakan bahan baharu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Menurut Azwan Felani, inovasi ketiga apabila mereka menggunakan botol mineral plastik terpakai yang diproses menjadi filamen untuk mesin pencetak 3D sebelum dibentuk menjadi tangan prostetik.

“Kaedah ini bukan saja me­ngurangkan penggunaan bahan baharu malah memberi nilai tambah kepada bahan buangan supaya dapat dimanfaatkan semula,” katanya.

Ujarnya, rekaan tangan palsu itu juga mengambil kira aspek keselesaan, ketahanan dan kemampuan pengguna selain di­sokong jaminan sepanjang ha­yat.

“Sekiranya berlaku kerosakan atau mana-mana bahagian patah, pengguna boleh datang semula kepada kami untuk dibaiki atau digantikan dengan baha­gian baharu,” katanya.

Azwan Felani berkata, enam unit tangan palsu sudah dise­rahkan kepada pengguna menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan penerima dikenal pasti melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Ketika ini, empat pengguna sedang menunggu tangan palsu masing-masing disiapkan oleh penuntut di sini. Proses penghasilan bermula dengan mengenal pasti keperluan pengguna, mengambil ukuran dan menghasilkan reka bentuk yang disesuaikan dengan keadaan serta tahap kecacatan,” katanya.

Azwan Felani berkata, inovasi tangan palsu itu bermula sebagai projek eksperimen sebaliknya sudah digunakan dan memberi manfaat secara langsung kepada penerima dan membanggakan ADTEC Jerantut.

Katanya, pensyarah dan penuntut di situ berharap inovasi berkenaan dapat diperluas bagi membantu lebih ramai golongan OKU dan mereka yang memerlukan anggota tangan palsu terutama yang berdepan kekangan kewangan. – UTUSAN

The post Pensyarah, penuntut ADTEC Jerantut cipta tangan palsu guna botol plastik appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved