Pentagon dedah rakaman sulit UFO misteri

Space
10 Aug 2026 • 11:58 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pentagon dedah rakaman sulit UFO misteri

WASHINGTON: Pentagon mengeluarkan kumpulan terbaharu fail mengenai kewujudan objek terbang tidak dikenali (UFO) yang sebelum ini dirahsiakan, termasuk rakaman video, imej gambaran semula dan dokumen mengenai entiti misteri di beberapa lokasi.

Antara rakaman yang didedahkan ialah objek misteri yang meluncur pantas di atas kawasan perumahan di Asia Barat, serta rakaman sfera hitam yang kelihatan terapung di atas Lautan Pasifik sebelum menghilang seketika dan muncul semula.

Kumpulan terbaharu itu mengandungi 41 fail keseluruhannya, termasuk lebih 12 rakaman video, tiga imej dan sejumlah dokumen PDF. Dokumen paling lama bertarikh 1953, manakala yang paling baharu adalah dari tahun ini.

Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) memuat naik kumpulan pertama yang mengandungi 161 fail ke laman webnya pada 8 Mei, sambil berjanji akan mendedahkan lebih banyak dokumen.

Selepas Presiden, Donald Trump mengarahkan dokumen berkenaan didedahkan melalui perintah eksekutif awal tahun ini, Pentagon sudah membuka kepada umum ratusan fail sulit menerusi lima siri pendedahan.

Antara kandungan dalam kumpulan terbaharu itu ialah rakaman video yang dirakam di atas Teluk Oman pada 2021, yang kelihatan menunjukkan objek berwarna gelap bergerak dalam corak tidak menentu.

Pada pandangan pertama, objek itu kelihatan seperti lalat yang terbang pantas merentasi skrin, namun ia dilaporkan merupakan Fenomena Anomali Tidak Dikenal Pasti (UAP) berukuran kira-kira 1.2 meter diameter.

Satu lagi rakaman yang dirakam oleh kamera sensor tentera AS di lokasi yang tidak didedahkan di Asia Barat pada 2025 menunjukkan sebuah sfera berbentuk bulat bergerak dalam garis lurus di atas kawasan yang kelihatan seperti penempatan bandar.

Dalam satu dokumen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), seorang bekas juruterbang tentera menceritakan pengalamannya melihat cahaya aneh di langit pada Oktober 2023 ketika dalam penerbangan dari Boston ke Dublin.

Satu gambaran semula memaparkan bentuk segi tiga gelap yang besar di langit, dengan cahaya berbentuk bulat pada setiap bucunya. Menurut keterangannya, imej itu berdasarkan pengalaman yang disaksikan sendiri oleh dua bekas anggota tentera AS pada musim panas 2011.-AGENSI

The post Pentagon dedah rakaman sulit UFO misteri appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved