
PERBINCANGAN mengenai trend kelulusan dan melanjutkan pelajaran dalam sistem pendidikan negara wajar dihormati kerana hal itu menyentuh asas pembangunan modal insan negara.
Beberapa statistik rasmi yang dikongsi memberi gambaran penting mengenai landskap pendidikan negara pada masa kini.
Walau bagaimanapun, beberapa aspek memerlukan penelitian yang lebih mendalam agar dasar yang bakal dibentuk benar-benar mengatasi akar masalah dan bukan sekadar memperbaiki gejala permukaan.
Statistik menunjukkan bilangan calon yang tidak hadir peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan satu indikator yang perlu diberi perhatian. Namun begitu, analisis yang lebih komprehensif diperlukan untuk memahami punca sebenar di sebaliknya.
Perkara yang kritikal untuk difahami ialah sama ada fenomena ini berpunca daripada faktor ekonomi, sosial atau struktural dalam sistem pendidikan itu sendiri.
Dari perspektif ekonomi, keputusan untuk tidak menyambung pelajaran tidak boleh dilihat sebagai satu pilihan yang bebas dalam vakum.
Ini kerana apabila kadar pengangguran graduan tidak selari dengan peningkatan peluang pekerjaan, maka pelajar dan keluarga mereka wajar membuat pertimbangan kos dan manfaat berdasarkan keadaan ekonomi sebenar.
Sekiranya pulangan ekonomi daripada pendidikan tinggi tidak dapat dijamin, maka keputusan untuk tidak menyambung pelajaran sebenarnya mencerminkan satu bentuk penyesuaian adaptif terhadap realiti pasaran kerja yang sedia ada.
Selain itu, aspek aksesibiliti juga memainkan peranan yang signifikan. Meskipun terdapat penawaran tempat di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA), menyebabkan akses sebenar bergantung kepada beberapa faktor termasuk keupayaan kewangan keluarga, lokasi geografi dan jaringan sokongan sosial.
Jurang antara ‘ditawarkan’ dan ‘digunakan’ merupakan satu aspek yang wajar dikaji dengan lebih mendalam sebelum sebarang kesimpulan dibuat mengenai motif di sebaliknya.
Sistem pendidikan Malaysia pada masa kini cenderung melahirkan graduan yang bersedia untuk menjadi pekerja, bukan pemain utama dalam pasaran kerja.
Pendekatan ini kurang memberi penekanan terhadap keupayaan untuk mencipta peluang pekerjaan sendiri, sekali gus menjadi kelemahan strategik yang perlu ditangani dengan segera.
Masyarakat ekonomi global hari ini semakin bergantung kepada individu yang mampu menjana pendapatan melalui cara-cara inovatif, bukan sekadar bergantung kepada peluang pekerjaan formal yang semakin kompetitif.
Namun begitu, kurikulum pendidikan negara masih tertumpu kepada penyampaian ilmu secara konvensional tanpa memberi ruang yang cukup bagi pelajar untuk mengembangkan bakat keusahawanan, kemahiran mengenal pasti peluang pasaran, serta keberanian untuk mengambil risiko yang dikira dan terukur.
SASARAN PEKERJA MAHIR
Sasaran untuk mencapai 35 peratus pekerja mahir merupakan satu matlamat yang penting dalam konteks pembangunan negara. Walau bagaimanapun, definisi ‘pekerja mahir’ itu sendiri memerlukan klarifikasi yang lebih tepat agar matlamat tersebut dapat diukur dan dinilai dengan berkesan.
Terdapat satu aspek kritikal yang sering terlepas pandang dalam debat mengenai modal insan, iaitu perbezaan antara kelayakan formal dan kemahiran yang relevan secara ekonomi.
Data daripada beberapa sumber menunjukkan terdapat fenomena ketidakpadanan kemahiran dalam pasaran kerja negara. Ini bermakna sistem pendidikan tinggi mungkin menghasilkan graduan yang berkelayakan dari segi formal tetapi kurang kompeten dalam konteks keperluan sebenar industri.
Sekiranya masalah ini tidak ditangani, boleh menyebabkan peningkatan bilangan graduan semata-mata tetapi tidak akan menyumbang kepada produktiviti atau pencapaian matlamat ekonomi negara.
Sehubungan dengan itu, pendekatan yang lebih holistik perlu diambil kira. Pendidikan teknikal dan latihan vokasional wajar diberikan perhatian yang setimpal sebagai laluan alternatif yang setara.
Kedua-dua laluan pendidikan ini harus dilihat sebagai pelengkap bukan sebagai hierarki yang satu lebih tinggi daripada yang lain.
Penyeragaman kepada satu model pendidikan sahaja akan mengehadkan pilihan pelajar dan tidak dapat memenuhi kepelbagaian keperluan ekonomi negara.
DIMENSI DEMOGRAFI
Perubahan dalam pola demografi seperti peningkatan umur purata perkahwinan dan penurunan kadar kelahiran merupakan fenomena yang diperhatikan dalam banyak negara membangun.
Walau bagaimanapun, analisis yang baik memerlukan pemahaman bahawa perubahan ini bukan punca kepada masalah ekonomi tetapi sebenarnya merupakan tindak balas terhadap keadaan ekonomi dan sosial yang sedia ada.
Apabila kos hidup meningkat, harga hartanah menjadi tidak mampu milik serta ketidakpastian ekonomi menjadi norma, menyebabkan keputusan untuk melambatkan perkahwinan dan kelahiran merupakan penyesuaian yang rasional.
Ini bukan menunjukkan kegagalan moral atau penurunan nilai dalam kalangan generasi muda tetapi sebaliknya mencerminkan satu generasi yang membuat perhitunganyang lebih sophistikated mengenai masa depan dan keluarga mereka.
Demikian juga dengan kadar perceraian yang meningkat. Ia tidak boleh ditafsirkan secara simplistik sebagai kegagalan institusi keluarga.
Dalam banyak kes, perceraian merupakan pilihan lebih baik berbanding terus kekal dalam situasi tidak sihat, yang boleh membawa implikasi lebih buruk kepada semua pihak terlibat.
KEPENTINGAN DATA
Peranan Jabatan Perangkaan dalam membantu kerajaan membentuk dasar yang berkesan tidak boleh dinafikan. Data tepat dan menyeluruh merupakan asas kepada sebarang intervensi dasar yang berkesan. Walau bagaimanapun, terdapat satu aspek yang sama penting, iaitu bagaimana data tersebut digunakan dan ditafsirkan.
Statistik hanya merupakan alat. Kepentingannya terletak pada sejauh mana alat tersebut digunakan untuk memahami punca masalah dan bukan sekadar mengukur gejala.
Penggunaan data yang berkesan memerlukan satu pendekatan holistik dengan pelbagai indikator dianalisis secara bersepadu untuk mendapatkan gambaran lebih lengkap mengenai sesuatu fenomena.
PERBAIKAN DASAR
Berdasarkan analisis di atas, beberapa cadangan boleh dikemukakan untuk pertimbangan. Pertama, kajian yang lebih mendalam mengenai punca sebenar trend tidak menyambung pelajaran perlu dijalankan. Setiap faktor punca memerlukan intervensi yang berbeza dan pemahaman yang tepat adalah prasyarat kepada sebarang penyelesaian yang berkesan.
Kedua, penggubal dasar perlu mengiktiraf kepelbagaian laluan pendidikan dan memberikan sokongan yang setara kepada pelbagai pilihan kerjaya. Universiti bukan satu-satunya jawapan kepada pembangunan modal insan dan pendekatan yang lebih inklusif perlu diterapkan.
Secara keseluruhan, analisis terhadap trend pendidikan dan demografi negara memerlukan satu pendekatan yang lebih bersepadu. Ia tidak boleh bergantung kepada sebarang satu indikator atau punca sahaja.
Pembentukan dasar yang berkesan memerlukan pemahaman yang mendalam mengenai bagaimana pelbagai faktor berinteraksi dalam membentuk pilihan dan keputusan individu.
Lebih daripada itu, dasar tersebut harus fleksibel untuk menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran yang sentiasa berubah.
Hanya dengan pendekatan yang sedemikian sahajalah matlamat pembangunan modal insan negara dapat dicapai dengan berkekalan. –UTUSAN
DR. Abu Sufian Abu Bakar ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Wang dan Bank Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Timbalan Pengerusi, Forum Ekonomi Manusiawi.
The post Nilai semula arah pendidikan negara appeared first on Utusan Malaysia.






