Penukaran MyKad generasi baharu tidak jejas bantuan, subsidi kerajaan

LocalPolitics
17 Sep 2026 • 12:02 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Penukaran MyKad generasi baharu tidak jejas bantuan, subsidi kerajaan

PUTRAJAYA – Orang ramai tidak perlu bimbang membuat pertukaran MyKad generasi baharu di mana-mana kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berikutan proses itu tidak akan menyebabkan bantuan atau subsidi kerajaan akan terhenti.

Pengarah Bahagian Kad Pengenalan JPN, Muhammad Asraf Sukadi berkata, ini kerana MyKad generasi baharu boleh digunakan bagi bantuan dan subsidi kerajaan yang menggunakan kad pengenalan sebagai medium pengesahan dan penebusan.

“Selain itu, nombor Mykad dan maklumat peribadi juga tidak akan berubah apabila menerima kad generasi baharu memandangkan ia adalah berdasarkan rekod rasmi JPN dan tertakluk kepada peraturan berkuat kuasa.

“Pada masa sama, MyKad generasi baharu juga kekal sebagai dokumen pengenalan diri rasmi rakyat Malaysia dan boleh digunakan untuk urusan kerajaan tertakluk kepada keperluan agensi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Untuk maklumat, JPN telah mengeluarkan MyKad versi baharu dilengkapi 53 ciri keselamatan berbanding 23 sebelum ini bermula hari ini.

Mengulas mengenai adakah baki Sumbangan Asas Rahmah (Sara) akan hilang selepas mendapat Mykad generasi baharu, Muhammad Asraf berkata, baki dan kelayakan tidak disimpan dalam kad pengenalan.

“Sebaliknya ia direkodkan dalam sistem Sara yang mana MyKad digunakan sebagai medium pengesahan penerima dan untuk membuat pembelian barangan keperluan asas di kedai atau pasar raya yang mengambil bahagian.

“Oleh itu, pertukaran kepada MyKad baharu tidak bermaksud baki atau kelayakan Sara akan hilang. Rekod baki dan kelayakan penerima akan terus dirujuk melalui sistem Sara,” katanya.

Bagaimanapun, kemudahan Touch ’n Go tidak lagi disediakan dalam MyKad generasi baharu dan pengguna yang ingin terus menggunakan perkhidmatan itu boleh melalui eWallet Touch ’n Go atau kad Touch ’n Go yang berasingan. – KOSMO! ONLINE

The post Penukaran MyKad generasi baharu tidak jejas bantuan, subsidi kerajaan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved