
Penulis buku, Jonathan dan Farel Mikhail menafikan niat mereka mahu menggunakan nama atau mengeksploitasi populariti usahawan terkenal Kak KM demi melariskan buku Pesona Kebaya tulisan mereka.
Menurut Jonathan, kehadiran selebriti sensasi itu ke majlis pelancaran buku tersebut adalah sebagai tetamu jemputan dan atas dasar persahabatan yang telah lama terjalin.
“Terkejut juga apabila ada yang menuduh kami sengaja menjemput Kak KM kerana mahu menggunakan kisah sensasinya bagi melariskan buku Pesona Kebaya.
“Ada yang cakap, seolah-olah kami mahu menumpang popularitinya dan mempunyai niat tertentu.
“Sejujurnya kami tiada niat nak menggunakan nama Kak KM atau selebriti-selebriti lain yang hadir. Kami sudah anggap mereka seperti kakak dan tiada langsung niat mahu mempergunakan mereka untuk menjual buku ini.
“Kami menjemput Kak KM atas dasar persahabatan memandangkan pernah bekerjasama dengan beliau sebelum ini. Lagi pun, inilah masanya untuk berkongsi hari bermakna kami setelah lama impian mahu muncul dengan Pesona Kebaya akhirnya menjadi kenyataan,” katanya.
Jonathan berkata demikian ketika majlis pelancaran buku Pesona Kebaya terbitan FM Group di Pavilion Damansara Heights, pada Sabtu.

Lebih istimewa, Kak KM turut menggayakan baju kebaya rekaan Jonathan dan Farel Mikhail.
Selain itu, selebriti lain yang turut hadir memeriahkan majlis pelancaran buku Pesona Kebaya ini ialah adik kepada penyanyi nombor satu negara, iaitu Siti Saerah, Puan Seri Syazara Aisha, Datuk Rozzana Rahmat dan Hanim Fariza.
