Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Rapid KL sebentar tadi (1 Julai), mengesahkan seorang penumpang telah terjatuh ke landasan tren Transit Aliran Ringan (LRT) di Stesen Hang Tuah Laluan Ampang – Sri Petaling dipercayai akibat pitam sebelum hilang imbangannya.
Kejadian dilaporkan berlaku jam 6.36 petang tadi.
Sejurus lelaki itu terjatuh, anggota polis bantuan yang sedang bertugas di platform itu bertindak pantas dengan memberikan bantuan awal kepada penumpang terbabit.
Bekalan Kuasa Tren Dihentikan Sementara Sebagai Langkah Keselamatan
Menerusi kenyataan di laman Facebook, Rapid KL berkata bekalan kuasa ke landasan dihentikan sementara sebagai langkah keselamatan bagi membolehkan pasukan operasi melaksanakan kerja-kerja menyelamat mangsa.
Penumpang Sudah Keluar Dari Landasan Dengan Selamat
Tambah Rapid KL, penumpang terbabit telah pun berjaya dibawa keluar dari landasan dengan selamat.
Penumpang berkenaan kemudiannya dihantar ke bilik kecemasan stesen bagi mendapatkan rawatan awal.
“Selepas pemeriksaan keselamatan dan landasan disahkan selamat untuk beroperasi, perkhidmatan tren di Laluan Ampang/Sri Petaling beroperasi semula seperti biasa pada jam 6.52 petang,” kata pihak Rapid KL.
Berdiri Di Belakang Garisan, Penumpang Tak Sihat Diminta Dapatkan Bantuan Dari Petugas Di Stesen – Rapid KL
Sementara itu, Rapid KL turut menasihatkan penumpang agar sentiasa berdiri di belakang garisan keselamatan (garisan kuning) selain meminta bantuan daripada petugas di stesen dengan kadar segera sekiranya berasa kurang sihat.
“Rapid KL sentiasa mengutamakan keselamatan penumpang dan mengingatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi arahan keselamatan ketika menunggu tren serta tidak memasuki kawasan landasan.
“Rapid KL turut menasihatkan mana-mana penumpang yang berasa kurang sihat, pening atau tidak selesa ketika berada di stesen supaya segera mendapatkan bantuan daripada petugas stesen atau anggota polis bantuan yang bertugas bagi membolehkan bantuan diberikan dengan segera,” tambah kenyataan itu.
Lelaki Terjatuh Dalam Keadaan Meniarap Di Atas Landasan Di Platform LRT Hang Tuah
Sebelum ini, tular beberapa video di laman Threads menunjukkan seorang lelaki telah terjatuh pada landasan tren di platform LRT Hang Tuah.
Dalam salah satu video, kelihatan lelaki itu terbaring meniarap dipercayai sedang menunggu bantuan daripada pasukan keselamatan.
View on Threads
Penumpang Wanita Dakwa Lelaki Terjatuh Landasan Alami Pendarahan Pada Muka
Menerusi hantaran lain di ruangan balas pula, seorang wanita mendakwa penumpang berkenaan mengalami pendarahan di bahagian wajahnya.
View on Threads
View on Threads
Baca Artikel Berkaitan: Tular Dakwaan Tren LRT Laluan Kelana Jaya ‘Meletup’, Ini Respon Rapid KL [Video]




![Tular Dakwaan Tren LRT Laluan Kelana Jaya ‘Meletup’, Ini Respon Rapid KL [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/local.jpeg)