Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Rapid KL hari ini (1 Julai) mengesahkan kejadian bunyi letupan kecil yang berlaku pada salah satu tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya, berpunca daripada seutas dawai halus yang tersangkut pada sistem bekalan kuasa.
Kejadian itu dilaporkan berlaku jam 7.18 malam semasa tren tersebut sedang berada di Stesen Taman Jaya menghala ke Putra Heights.
Dawai Halus Cair Yang Menyebabkan Bunyi Letupan Kecil Bukan Komponen Daripada Tren
Rapid KL dalam satu kenyataan memaklumkan, hasil siasatan di lokasi kejadian mendapati dawai halus yang telah cair itu bukanlah sebahagian daripada komponen tren mahupun landasan.
“Dawai berkenaan dipercayai tersangkut pada sistem bekalan kuasa, menyebabkan letupan kecil berkenaan,” katanya.
Tiada Kecederaan Berlaku Akibat Letupan Kecil
Susulan insiden itu, Rapid KL berkata tren terbabit sudah dikeluarkan serta-merta daripada perkhidmatan sebagai langkah keselamatan.
Dalam masa sama, penumpang juga telah diturunkan dengan selamat di stesen berikutnya.
“Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan operasi perkhidmatan di Laluan Kelana Jaya tidak terjejas serta beroperasi seperti biasa,” tambah kenyataan itu.
Baca Artikel Berkaitan: Panel Kaca Pecah Lepas Tren Berhenti Mengejut, 5 Penumpang LRT Laluan Kelana Jaya Cedera [Video]
Rapid KL Pandang Serius Insiden Letupan Kecil, Akan Ambil Langkah Susulan Untuk Elak Kejadian Sama
Bagi memastikan insiden sama tidak berulang lagi, Rapid KL berkata pihaknya akan terus menjalankan siasatan dan mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya.
Pengguna turut dinasihatkan supaya merujuk laman media sosial rasmi Rapid KL atau aplikasi MyRapid PULSE bagi mendapatkan sebarang status terkini mengenai perkhidmatan Laluan Kelana Jaya.
Penumpang Panik Tiba-tiba Dengar Bunyi Letupan Pada Tren LRT
Sebelum ini, tular di laman Threads apabila segelintir penumpang LRT Laluan Kelana Jaya mendakwa tren yang dinaiki mereka ‘meletup’ di Stesen Taman Jaya. Kejadian itu sekaligus membuatkan orang ramai berasa bimbang dan cemas.
“Legit baru jadi tadi (semalam) LRT Laluan Kelana Jaya meletup . Ya Allah ingat nak mati dah tadi. Menakutkan gil*,” kata seorang wanita.
Pengguna Sempat Rakam Kejadian Letupan Di Stesen Taman Jaya
Sementara itu, seorang pengguna LRT dikenali sebagai Sharil turut berkongsi klip video bunyi letupan yang sempat dirakamnya semasa waktu kejadian.
Menerusi video berkenaan, kedengaran bunyi yang kuat dan kelihatan pancaran cahaya yang terang di atas tren dipercayai akibat letupan tersebut.
View on Threads
Baca Artikel Berkaitan: LRT Laluan Kelana Jaya Sekali Lagi Alami Gangguan, Ramai Tersangkut Nak Ke Tempat Kerja [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Kenapa LRT Laluan Kelana Jaya Berdepan Gangguan? Ini Penjelasan CEO Rapid Rail
Baca Artikel Berkaitan: Isu Gangguan LRT Kelana Jaya: Anthony Loke Arah APAD Siasat, Gesa Prasarana Beri Penjelasan [Video]






