![Penumpang Pesawat Ditahan Selepas Didakwa Cuba Buka Pintu Kecemasan & Rosakkan Panel Tingkap Dalam Penerbangan KL – Kochi [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/08/rosakkan-panel-tingkap-dan-cuba-buka-pintu-kecemasan.jpg)
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Apabila menaiki kapal terbang, penumpang perlulah mengikut setiap peraturan yang telah ditetapkan. Malah sewaktu penerbangan para penumpang juga akan diberi taklimat keselamatan.
Namun ada segelintir penumpang masih berdegil bahkan melakukan tindakan yang boleh mengancam keselamatan serta nyawa penumpang lain.
Tular video memaparkan keadaan cemas dalam Batik Air selepas penumpang cuba nak buka pintu kecemasan dan rosakkan panel tingkap
Baru-baru ini, tular satu video di media sosial memaparkan tindakan seorang penumpang lelaki yang didakwa cuba membuka pintu kecemasan dan merosakkan cermin sewaktu pesawat Batik Air sedang berada di udara dalam penerbangan Kuala Lumpur ke Kochi dipercayai pada 5 Ogos.
Menerusi video tular itu, keadaan di dalam pesawat menjadi kecoh dan kelihatan kru kabin seperti pramugara dan pramugari cuba menenangkan keadaan tersebut.
Penumpang ditahan selepas pegawai keselamatan Batik Air buat aduan
Menurut Indian Express penumpang dikenali sebagai Jamsheer Athanikkal, 36, berasal daripada Palakkad dan dia telah ditahan susulan terdapat aduan daripada pegawai keselamatan Batik Airlines di lapangan terbang Kochi, India.
Insiden itu dipercayai berlaku ketika pesawat Batik Air OD 231 sedang berada di udara.
Lelaki dipercayai dalam perjalanan pulang ke kampung, tidak melakukan sebarang provokasi sebelum insiden berlaku
Menurut polis Lapangan Terbang Kochi, Jamsheer yang bekerja dalam industri hospitaliti di Malaysia sedang dalam perjalanan pulang ke kampung halamannya.
“Kejadian itu berlaku di udara antara 9.30 malam dan 11 malam. Jamsheer ialah seorang penumpang yang duduk di kerusi 12A. Tanpa sebarang provokasi, dia cuba membuka pintu kecemasan dan memusnahkan panel tingkap keluar.
“Dia mengugut penumpang bersama anak kapal, yang cuba menghalangnya. Kemudian, dia telah dihalang oleh penumpang bersama anak kapal,” kata pegawai polis di lapangan terbang berkenaan.
Penumpang itu kemudiannya ditahan atas tuduhan intimidasi jenayah [(BNS) 351(3)], kegagalan mematuhi arahan keselamatan rasmi (Akta Pesawat 11-A), dan mempertaruhkan keselamatan awam (Akta Polis Kerala 118(e)).
Kenyataan kru kabin akan dirakam kemudian
Kata pegawai polis itu lagi, kru kabin dalam pesawat berkenaan telah pulang ke Malaysia dan kenyataan mereka akan dirakam nanti.
“Kami juga sedang meneliti sama ada Akta Kesalahan terhadap Keselamatan Penerbangan Awam boleh dikenakan ke atas individu yang ditahan.
“Ia berkaitan dengan kesalahan yang dilakukan di dalam pesawat.”
Ujarnya, ia susulan penumpang yang ditahan itu tidak menyebut sebarang provakasi di sebalik perbuatannya itu.
Pulang ke kampung nak tengok bayi yang baru dilahirkan
“Dia (penumpang) berkata dia rasa ingin berbuat demikian pada masa itu. Bukannya dia telah kehilangan pekerjaannya (di mana akan menyebabkan rasa kecewa disebabkan hal itu).
“Penumpang itu mengatakan dia akan pulang ke rumah untuk melihat bayinya yang baru dilahirkan. Polis akan meminta hak penjagaannya daripada mahkamah untuk siasatan lanjut,” jelas pegawai itu lagi.
Penumpang didakwa rosakkan panel tingkap dan pintu kecemasan guna kaki
Menurut The Star, Jamsheer didakwa merosakkan panel tingkap dan pintu kecemasan menggunakan kakinya dan cuba membuka pintu terbabit secara paksa, sambil mengugut kru kabin dan penumpang.
Seorang penumpang dalam pesawat berkenaan yang dikenali sebagai Matty Mathew turut menggambarkan situasi berkenaan dalam media sosialnya menerusi video.
Menerusi hantaran itu, katanya kebanyakan penumpang sebelum insiden sedang tidur ketika penerbangan di waktu malam dan mereka dikejutkan dengan bunyi udara yang mengalir kuat melalui kabin, selepas seorang penumpang yang duduk di barisan kecemasan memecahkan tingkap dan cuba membuka pintu.
Pintu berkenaan bagaimanapun kekal tertutup disebabkan reka bentuknya dan takanan kabin pesawat.
“Ia adalah pengalaman yang menakutkan, mujurlah kami semua selamat,” tulisnya.
Video sama turut menjadi tular di Threads.
View on Threads


![[VIDEO] ‘Tengah tidur nyenyak, tiba-tiba dengar bunyi angin kuat’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-07-at-10.09.12-AM-1024x768.jpeg)


