![Image from: [VIDEO] ‘Tengah tidur nyenyak, tiba-tiba dengar bunyi angin kuat’](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-07-at-10.09.12-AM-1024x768.jpeg)
PETALING JAYA – Penumpang yang menaiki penerbangan Batik Air Malaysia dari Kuala Lumpur ke Kochi, India, berdepan detik cemas apabila seorang penumpang lelaki bertindak di luar kawalan dengan memecahkan tingkap dan cuba membuka pintu kecemasan pesawat ketika di udara, kelmarin.
Menerusi hantaran video oleh pengguna Facebook, Matty Mathew, situasi mencemaskan itu berlaku apabila lelaki terbabit yang duduk di barisan pintu kecemasan secara tiba-tiba merosakkan tingkap sehingga mengejutkan sebahagian besar penumpang yang sedang tidur selepas kedengaran bunyi deruan angin yang sangat kuat di dalam kabin.
“Kejadian menakutkan dalam penerbangan Batik Air saya dari Kuala Lumpur ke Kochi pada 5 Ogos 2026. Ia adalah penerbangan tengah malam, dan kebanyakan penumpang nyenyak tidur apabila dikejutkan dengan bunyi deruan angin yang kuat dan menakutkan.
“Seorang penumpang di barisan kecemasan memecahkan tingkap dan cuba mengganggu pintu kecemasan tapi nasib baik, disebabkan reka bentuk pesawat dan tekanan kabin, pintu kekal tertutup,” katanya pada hantaran tersebut.
Katanya, tindakan pantas beberapa penumpang lain bersama kru penerbangan Batik Air Malaysia berjaya menahan lelaki tersebut, sekali gus mengelakkan situasi menjadi lebih parah.
“Penumpang lain dan kru Batik Air Malaysia bertindak serta-merta, menahan lelaki itu dan menghalang situasi daripada menjadi lebih buruk.
“Ia adalah pengalaman yang sangat menakutkan, tetapi mujurlah kami semua selamat. Sangat terkejut dan berterima kasih kepada semua yang tampil membantu dalam saat-saat mencemaskan itu,” ujarnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna meluahkan kerisauan terhadap kejadian tersebut yang dianggap membahayakan keselamatan penumpang dan memuji tindakan staf bertugas serta penumpang yang berani mengambil tindakan pantas demi keselamatan bersama.
“Satu tindakan boleh membahayakan keselamatan semua penumpang dalam kapal terbang tu ye. Nasib baik dia tak bertindak lagi jauh dan ramai yang terjaga,” kata pengguna White Shark.
“Bagus penumpang lain pun turut sama bantu staf kapal tu untuk tenangkan suasana dan kawal lelaki tu. Tak boleh jangka ye orang sekarang, pelik-pelik je,” tambah pengguna Richie Chuah. – KOSMO! ONLINE
The post [VIDEO] ‘Tengah tidur nyenyak, tiba-tiba dengar bunyi angin kuat’ appeared first on Kosmo Digital.


![Penumpang Pesawat Ditahan Selepas Didakwa Cuba Buka Pintu Kecemasan & Rosakkan Panel Tingkap Dalam Penerbangan KL – Kochi [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/08/rosakkan-panel-tingkap-dan-cuba-buka-pintu-kecemasan.jpg?t=1786077617)


