
TAWAU: Seorang penunggang motosikal maut selepas mengalami kecederaan parah di kepala dalam kemalangan di Jalan Bombalai dekat simpang tiga Ladang Table-Kampung Indah, di sini, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin pada Selasa berkata lelaki berumur 48 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat impak kemalangan.
Jasmin berkata nahas kira-kira jam 8.30 pagi itu berlaku ketika pemandu 4WD jenis Isuzu yang dipandu seorang lelaki berumur 56 tahun dalam perjalanan dari arah Kalabakan menuju Bandar Tawau.
“Bagaimanapun 4WD itu bertembung dengan sebuah motosikal yang keluar dari simpang tiga Ladang Table – Kampung Indah sambil memasuki laluan ke sebelah kanan jalan menuju ke arah Bombalai.
“Penunggang bersama motosikalnya kemudian terjatuh dan tercampak di atas jalan raya di kawasan laluan yang menghala ke arah Bombalai manakala pemandu 4WD tidak cedera,” katanya, sambil menambah, mereka menerima aduan berhubung insiden kira-kira jam 9.20 pagi.
Beliau meminta saksi kejadian agar tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk menyalurkan maklumat sekali gus membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu dalam keadaan melulu atau membahayakan,” katanya.
Terdahulu rakaman video berdurasi lima minit 41 saat berkaitan impak kemalangan itu tular di media sosial.



