
HULU SELANGOR – Seorang lelaki berusia 60 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya terjatuh sebelum mangsa digilis sebuah lori dalam kemalangan di Jalan Batang Kali-Ulu Yam, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan M. Manimaran berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kemalangan maut itu kira-kira pukul 7.30 malam.
“Siasatan awal mendapati sebuah lori yang dipandu lelaki berusia 45 tahun sedang dalam perjalanan ke Pulau Pinang untuk menghantar barang.
“Ketika melalui Jalan Batang Kali-Ulu Yam, mangsa yang menunggang motosikal dipercayai cuba memotong lori berkenaan dari sebelah kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pada masa sama terdapat seorang pejalan kaki sedang melintas jalan raya.
“Mangsa dipercayai cuba mengelak pejalan kaki berkenaan sebelum hilang kawalan dan menyebabkan motosikal yang ditunggangnya terjatuh,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Khairul Salleh Abdul Rahman di talian 03-6064 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE
The post Penunggang motosikal maut digilis lori appeared first on Kosmo Online.






