

Seorang penunggang motosikal lelaki berusia 26 tahun maut selepas dihempap sebatang pokok tumbang di Setia Eco Templer, Selayang, petang tadi. Insiden sekitar jam 2.19 petang itu turut menghempap sebuah lori jenis Isuzu dan motosikal Yamaha NMax yang ditunggang mangsa di lokasi kejadian.
Kejadian tragis itu disahkan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang menerima panggilan kecemasan sejurus insiden berlaku.

Penolong Pengarah Operasi JBPM, Ashrul Riezal Asbar memaklumkan pemeriksaan awal di tempat kejadian mendapati penunggang motosikal berkenaan tersepit di bawah batang pokok besar tersebut dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Pasukan bomba kemudiannya bertindak pantas menjalankan operasi menyelamat menggunakan peralatan khas bagi memotong dan mengalihkan pokok untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Bagaimanapun, mangsa berusia 26 tahun itu disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya dalam insiden tersebut.





