
SHAH ALAM, 18 NOV: Polis mengesahkan lelaki yang maut selepas dihempap pokok tumbang di Jalan Tumbang petang tadi merupakan penunggang motosikal perkhidmatan e-panggilan berusia 26 tahun.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ibrahim Husin berkata kejadian ketika hujan lebat itu turut membabitkan seorang pemandu lori berusia 69 tahun yang mengalami kecederaan ringan.
Menurutnya, kedua-dua kenderaan dipercayai bergerak dari arah Rawang menuju ke Selayang sebelum sebatang pokok di bahu kiri jalan tiba-tiba tumbang lalu menghempap lori dan motosikal terbabit.
“Akibat kejadian itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan Hospital Selayang.
“Pemandu lori pula mengalami kecederaan ringan dan dirawat di Hospital Selayang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ibrahim berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 3.39 petang.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Selayang untuk proses bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), manakala siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti keadaan dan punca kejadian.
Sehubungan itu, beliau menasihati pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada ketika memandu dalam cuaca buruk, khususnya ketika hujan lebat dan angin kencang.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Ketua Polis Balai Rawang, Inspektor Zharif Zakaria di talian 03-6091 6222 atau Bilik Gerakan IPD Gombak di talian 03-6126 2222 bagi membantu siasatan.
Terdahulu, beberapa rakaman video dan gambar yang tular di media sosial menunjukkan kejadian pokok tumbang di laluan dari Rawang menghala ke Selayang, yang turut dilaporkan menyebabkan kesesakan lalu lintas teruk di kedua-dua arah.





