Penunggang motosikal maut jatuh dari jejambat

26 Jul 2025 • 7:52 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum terjatuh dari jejambat setinggi kira-kira 21 meter dalam kejadian di Susur 1/B 0.5 Lebuhraya DASH pada Khamis.

image is not available
Motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan semasa melalui selekoh sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan jejambat

SHAH ALAM - Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum terjatuh dari jejambat setinggi kira-kira 21 meter dalam kejadian di Susur 1/B 0.5 Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu melibatkan motosikal jenis Yamaha YZF-R15 ditunggang mangsa berusia 23 tahun.

Menurutnya, mangsa bekerja sebagai kakitangan sokongan teknologi maklumat di sebuah syarikat swasta dan datang dari arah Persiaran Mokhtar Dahari.

"Siasatan awal mendapati motosikal terbabit dipercayai hilang kawalan semasa melalui selekoh sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan jejambat.

**media[3215700]**

"Akibat kemalangan itu, mangsa tercampak dan terjatuh ke kawasan berumput di Persiaran Pulau Angsa dari ketinggian lebih kurang 21 meter," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Katanya, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan kaki sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai atau mana-mana saksi bebas yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Nur Iqmal Maisarah Azman di talian 012-2836851," katanya.