
IPOH – Seorang penunggang motosikal maut setelah terlibat dalam kemalangan membabitkan empat buah kenderaan di Jalan Keramat Pulai, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, kemalangan tersebut melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan tiga buah motosikal.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira pukul 4.30 petang ketika sebuah MPV dipandu seorang lelaki berusia 52 tahun dari arah Simpang Pulai menuju ke Cameron Highlands.
“Setibanya di lokasi kejadian, sebuah motosikal yang ditunggang lelaki berusia 22 tahun dari arah bertentangan dipercayai telah memasuki laluan MPV tersebut ketika cuba memotong kenderaan di hadapannya,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, pemandu MPV cuba mengelak ke bahu jalan, namun motosikal berkenaan melanggar bahagian hadapan kenderaan tersebut.
Muhammad Najib berkata, dua buah motosikal lain yang datang dari arah Cameron Highlands turut terlibat ketika cuba mengelak kemalangan berkenaan.
“Akibat kemalangan tersebut, ketiga-tiga penunggang motosikal terjatuh dan mengalami kecederaan, manakala pemandu MPV tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kesemua mangsa telah dibawa ke hospital Cameron Highlands untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Beliau berkata, kira-kira pukul 9.45 malam, penunggang motosikal berusia 22 tahun berkenaan telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan, manakala dua lagi penunggang motosikal berusia 25 dan 24 tahun mengalami kecederaan ringan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau rakaman berkaitan kejadian tersebut diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pihak polis daerah Ipoh,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Penunggang motosikal maut langgar MPV ketika memotong appeared first on Kosmo Digital.



![[VIDEO] Kurang 10 saat, pemandu kelisa, penunggang motor selisih maut](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/POKOK-TUMBANG-TULAR-VIRAL-2-1024x689.jpeg)


