Dijel 6 tahun, denda RM20,000 langgar mati penunggang motosikal

10 Aug 2026 • 3:42 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Dijel 6 tahun, denda RM20,000 langgar mati penunggang motosikal

JOHOR BAHRU – Seorang pekerja pembersihan di Singapura dihukum penjara enam tahun dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal, minggu lalu.

Majistret Nur Fatin Mohamad Farid menjatuhkan hukuman terhadap T. Yuken, 25, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang dibacakan dalam bahasa Tamil.

Hukuman penjara itu berkuat kuasa hari ini, manakala tertuduh diperintah membayar denda RM20,000 atau penjara tambahan setahun jika gagal membayarnya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh membayar pampasan RM4,000 kepada balu mangsa, Noor Adlin Roslan, mengikut Seksyen 426 Kanun Tatacara Jenayah selain lesen memandunya diendors oleh mahkamah dan hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama lima tahun.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang memandu sebuah Perodua Myvi didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Muhamad Isa Damiri, 41, di Jalan Leong Bee, Gelang Patah, pada pukul 4.20 pagi, 6 Ogos lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (pindaan 2020), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda tidak lebih RM50,000, selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu untuk tempoh sekurang-kurangnya lima tahun.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan dengan alasan baru mendapat pekerjaan di Singapura dan hanya seminggu bekerja selain perlu menyara keluarganya termasuk ibu yang tidak bekerja, bapa yang bekerja sebagai tukang kebun serta dua adik yang masih belajar.

“Itu saya punya salah, saya mengaku. Saya cuma mahu minta kurangkan hukuman dan denda saya,” katanya ketika membuat rayuan di hadapan mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhaizam Rostam Affendi bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan dengan mengambil kira kepentingan keluarga mangsa yang kehilangan tempat bergantung, selain faktor pencegahan dan pengajaran kepada masyarakat.

Menurutnya, mangsa meninggal dunia pada usia 41 tahun dan meninggalkan seorang isteri serta empat anak, manakala tertuduh juga didapati memandu tanpa lesen dan perlindungan insurans ketika kejadian. Mahkamah turut diminta mengambil kira kerosakan motosikal mangsa serta mempertimbangkan bayaran pampasan kepada balu mangsa.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh motosikal Honda C100B yang ditunggang mangsa.

Mangsa tercampak akibat rempuhan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat pelbagai kecederaan konsisten dengan kemalangan jalan raya.

Rakaman kemalangan itu turut tular di media sosial memaparkan mangsa dilambung selepas motosikalnya dirempuh Perodua Myvi yang dipandu laju.

Mahkamah menetapkan 10 Disember depan untuk mengetahui status pembayaran pampasan tersebut. – KOSMO! ONLINE

The post Dijel 6 tahun, denda RM20,000 langgar mati penunggang motosikal appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved