Seorang penunggang motosikal wanita maut selepas tercampak ke bawah Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) dalam satu kemalangan tragis yang berlaku pada Selasa.
Kejadian berlaku pada jam 6.50 petang di kilometer 0.7 lebuh raya tersebut apabila motosikal mangsa bergesel dengan sebuah kereta.
Mangsa yang berusia 30 tahun dilaporkan tercampak dari jejambat berketinggian 30 meter dan meninggal dunia di tempat kejadian. Suaminya yang menunggang motosikal secara berasingan turut berada di lokasi kejadian dan dilihat berada dalam keadaan sedih selepas menyaksikan insiden yang menimpa isterinya itu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, kemalangan berlaku apabila mangsa cuba melalui jalan berselekoh sebelum motosikalnya bergesel dengan kereta di hadapan.
“Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Insiden ini turut tular di media sosial selepas video yang merakamkan suasana di tempat kejadian dikongsi oleh orang awam. Dalam video tersebut, motosikal mangsa dilihat dalam keadaan baik di tepi jalan.
Kejadian ini mencetuskan perbincangan dalam kalangan netizen yang menggesa pihak berkuasa supaya memasang penghadang keselamatan yang lebih tinggi di sepanjang lebuh raya DASH bagi mengelakkan kejadian serupa berulang. Mereka turut menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan lebuh raya yang sering menjadi lokasi pemanduan laju kerana laluannya yang lurus dan panjang.
Sumber: Kosmo! Online, Majoriti
The post Penunggang motosikal wanita maut tercampak 30 meter ke bawah Lebuh Raya DASH appeared first on The Reporter.



