Penuntut IPTS mangsa keenam RXZ Members 8.0, maut kemalangan di LPT 2

2 Aug 2026 • 10:29 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Penuntut IPTS mangsa keenam RXZ Members 8.0, maut kemalangan di LPT 2
Tangkap layar video tular nahas mengorbankan seorang peserta RXZ Members 8.0 di Kilometer (KM) 356, LPT 2 arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan pada petang Ahad.
Image from: Penuntut IPTS mangsa keenam RXZ Members 8.0, maut kemalangan di LPT 2
Tangkap layar video tular nahas mengorbankan seorang peserta RXZ Members 8.0 di Kilometer (KM) 356, LPT 2 pada petang Ahad.
Image from: Penuntut IPTS mangsa keenam RXZ Members 8.0, maut kemalangan di LPT 2
Tangkap layar video tular nahas di KM 356, LPT 2 arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan pada petang Ahad.

DUNGUN - Perhimpunan RXZ Members 8.0 meragut satu lagi nyawa apabila seorang penuntut institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Kuala Lumpur menjadi mangsa keenam terkorban dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2), dekat Bukit Besi, di sini pada Ahad.

​Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat berkata, kejadian itu berlaku di Kilometer (KM) 356, LPT 2 arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan, kira-kira jam 4.55 petang.

​Menurut beliau, mangsa yang terkorban dikenali sebagai Arissa Shazzira Zainudin, 21, yang beralamat di Taman Bukit Goh Perdana, Kuantan, Pahang.

**media[3603545]**

​"Pihak polis menerima makluman daripada orang awam berhubung insiden kemalangan jalan raya berkenaan jam 5.10 petang.

​"Kemalangan tersebut melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dan sebuah motosikal jenis Yamaha 125ZR yang ditunggangi mangsa," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

​Mengulas mengenai kejadian, Nik Ab Halim berkata, kedua-dua kenderaan berkenaan datang dari arah yang sama iaitu dari Kuala Terengganu selepas menghadiri Program RXZ Members 8.0.

**media[3603546]**

​Beliau berkata, kesemua mereka dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing dimana pemandu pacuan empat roda menuju ke Ampang, Selangor manakala penunggang motosikal berkenaan menghala ke Kuantan, Pahang.

"​Siasatan awal pihak polis mendapati kemalangan berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton itu berhenti di lorong kecemasan untuk berehat.

"Bagaimanapun, motosikal jenis Yamaha 125ZR yang ditunggangi mangsa tiba-tiba datang dari arah belakang lalu melanggar bahagian belakang kenderaan berkenaan.

"​Akibat rempuhan kuat itu, mangsa telah tercampak ke tengah-tengah jalan raya dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," ujarnya.

​Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved