
DUNGUN, 3 Ogos – Seorang lagi peserta Program RXZ Members 8.0 dilaporkan maut dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan pulang selepas menghadiri himpunan berkenaan di Kuala Terengganu, menjadikan jumlah keseluruhan korban setakat ini meningkat kepada enam orang.
Mangsa dikenali sebagai Arissa Shazzira Zainudin, 21, seorang penuntut institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dari Kuantan, Pahang.
Rempuh Pikap Di Lorong Kecemasan
Menurut Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat, kemalangan berlaku kira-kira 4.55 petang semalam di Kilometer 356, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Bukit Besi. Siasatan awal mendapati motosikal Yamaha Y125ZR yang ditunggang mangsa dipercayai merempuh bahagian belakang sebuah Mitsubishi Triton yang berhenti di lorong kecemasan untuk berehat.
Mangsa tercampak ke tengah jalan akibat rempuhan itu dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala. Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sebelum ini, seorang lagi penuntut universiti, Muhammad Bakhtiar Mazlan, 22, turut maut dalam kemalangan di KM354 LPT2 ketika pulang daripada program sama. Setakat ini, pihak berkuasa melaporkan enam peserta RXZ Members 8.0 terkorban dalam kemalangan jalan raya sama ada ketika menuju ke lokasi acara atau dalam perjalanan pulang. – The Malaysian Update
The post Seorang Lagi Peserta RXZ Members 8.0 Maut Ketika Pulang, Angka Korban Kini Enam appeared first on The Malaysian Update.






