Penurunan harga RON95 beri impak sederhana kepada pendapatan PETRONAS Dagangan, kata CIMB Securities

24/07/2025 - 10:24
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 24 Julai - Penurunan harga RON95 kepada RM1.99 seliter dijangka memberi impak sederhana kepada pendapatan PETRONAS Dagangan Berhad dengan potensi peningkatan permintaan pada masa akan datang, kata CIMB Securities.
Katanya, analisis terhadap trend volum runcit sepanjang 10 tahun lalu menunjukkan bahawa penurunan 10% hingga 12% dalam purata harga pam biasanya hanya membawa kepada peningkatan kecil dalam jumlah volum runcit, iaitu kurang daripada 1%.
“Tambahan pula, sebarang peningkatan volum secara berperingkat berkemungkinan diimbangi sebahagiannya oleh pengecualian warga asing daripada harga bersubsidi, di mana mereka akan dikenakan harga pasaran tanpa subsidi sekitar RM2.50 seliter, berdasarkan harga semasa,” katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, penurunan harga pam RON95 berlaku secara mengejut, menunjukkan kadar subsidi per liter yang lebih tinggi daripada jangkaan walaupun harga minyak global lemah dan kerajaan sedang melaksanakan langkah pengetatan fiskal.
“PETRONAS Dagangan beroperasi di bawah Mekanisme Penetapan Harga Automatik Malaysia, yang memastikan margin bahan api runcit kekal terpelihara, dengan kerajaan membayar balik perbezaan antara harga pasaran dan harga bersubsidi.
“Akibatnya, kesan terhadap pendapatan PETRONAS Dagangan dijangka bersifat neutral, dengan margin yang dilindungi di bawah mekanisme subsidi sedia ada,” katanya.
CIMB Securities menjangkakan penurunan tahunan sebanyak 0.5% hingga 1.0% dalam volum runcit bagi tahun kewangan 2025 hingga 2027, terutamanya disebabkan oleh pengurangan jualan diesel susulan pelaksanaan penuh rasionalisasi subsidi diesel bermula 10 Jun 2024.
Walaupun PETRONAS Dagangan mencatatkan prestasi kukuh pada suku pertama 2025 yang didorong oleh margin yang sihat dalam segmen komersial, CIMB Securities berkata, momentum itu mungkin tidak akan berterusan, memetik aktiviti ekonomi yang lebih lemah dan kelembapan pasaran yang berterusan yang boleh menekan keuntungan bahan api komersial.
Firma penyelidikan tersebut berkata, risiko utama ialah kemungkinan kelewatan dalam bayaran balik subsidi kerajaan, yang boleh memberi tekanan kepada modal kerja dan aliran tunai PETRONAS Dagangan.
CIMB Securities mengekalkan penarafan "pegang" ke atas syarikat itu, dengan harga sasaran (TP) RM20.90 sesaham, sambil menyatakan, pelarasan harga RON95 lebih bertujuan meringankan tekanan kos sara hidup daripada secara signifikan merangsang permintaan bahan api oleh peruncit.- DagangNews.com
standard


